Spesifikasi awalan Toyota Corolla - dua varian utama, bermula dari RM128,888 & Toyota Safety Sense

oleh Mohamad Hanif|
UMW Toyota Motor telah mengumumkan Toyota Corolla baharu generasi ke-12 sudah mula boleh ditempah di kesemua pusat pameran Toyota di seluruh negara bermula 12 September 2019.

Difahamkan, hanya dua varian utama sahaja yang ditawarkan, iaitu 1.8E dan 1.8G, yang mana ia dijana menggunakan enjin 2ZR-FBE 1.8 liter empat silinder sebaris yang menghasilkan 140 PS dan 177 Nm itu. 

Kedua-dua varian dipadankan dengan transmisi CVT yang memiliki tujuh nisbah kelajuan dan memacu roda hadapan sahaja. 

 


Toyota Corolla seperti yang diterangkan sebelum ini dibangunkan menggunakan platform baharu TNGA (GA-C), namun diberikan rupa yang hampir kepada model versi Eropah. 

Walaupun tidak seagresif Toyota Corolla pasaran Amerika Syarikat, sekurang-kurangnya Toyota Corolla baharu ini sudah lebih hensem berbanding generasi terdahulu. 
 


Dari segi penawaran standard, sedan segmen C varian 1.8E ini hadir dengan kelengkapan seperti lampu utama automatik bi-halogen, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, lampu kabus depan dan belakang, sistem kemasukan tanpa kunci, pendingin hawa zon tunggal, tempat duduk fabrik berkuasa elektrik boleh laras, sistem infotainmen dengan enam pembesar suara serta slot pengecasan USB. 

Manakala varian yang lebih tinggi pula didatangkan dengan kelengkapan seperti rim aloi bersaiz 17 inci (berbanding 16 inci pada varian 1.8E), lampu utama Bi-LED, skrin paparan info berbilang 7 inci TFT, tempat duduk balutan kulit dengan jahitan berkembar, slot pengecasan nirwayar, brek parkir elektronik serta perakam video digital.
 


Kelengkapan keselamatan juga tidak kurang menarik apabila kedua-dua varian hadir dengan tujuh beg udara, sistem brek anti-kunci ABS, EBD, Bantuan Brek, Bantuan Mula Mendaki (HAC), Lampu Berhenti Kecemasan (ESS), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan Kawalan Cengkaman (TRC).

Namun, khusus buat varian 1.8G ia dilengkapkan dengan Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM) dan ciri keselamatan Toyota Safety Sense yang merangkumi perkara-perkara seperti:

  • Sistem Pra-Pelanggaran (PCS)
  • Amaran Keluar Laluan (LDA)
  • Kawalan Pemanduan Radar Dinamik (DRCC)
  • Lampu Suluhan Tinggi Automatik (AHB)
  • Bantuan Pengesan Laluan (LTA)

 


Lima warna ditawarkan iaitu Celestite Gray Metallic, White Pearl CS, Silver Metallic, Attitude Black, dan Red Mica Metallic. 

Harga anggaran jualan pula adalah seperti berikut:

Toyota Corolla 1.8E - RM128,888
Toyota Corolla 1.8G - RM136,888

Jadi, dengan spesifikasi dan rupa paras yang ditawarkan, adakah ia mampu menggegarkan pasaran sedan segmen C di Malaysia? 

 

Add new comment

Careta Ad