Ia bukanlah satu kesilapan menaip, akan tetapi Hellucination merupakan produk terkini yang diperlihatkan oleh SpeedKore yang menggunakan asas daripada Dodge Charger tahun 1968.
Insan yang bertanggungjawab di sebalik rekaan Hellucination ini merupakan Ralph Gilles, ketua unit rekaan di Stellantis di mana beliau juga merupakan orang yang sama menghasilkan rekaan model-model seperti Dodge Magnum, Chrysler 300C, dan Dodge Viper.

Jentera klasik ini dipadankan dengan enjin bentangan V8 Hellephant yang dibantu dengan induksi paksaan pengecas lampau, menghasilkan kuasa setinggi 1,000 hp yang memacu roda belakang sahaja menggunakan transmisi automatik ZF lapan nisbah kelajuan.
Tatkala bentuk luaran masih lagi mengekalkan rupa asal, anda boleh melihat dengan lebih dekat di mana hampir keseluruhan panel diperbuat daripada bahan gentian karbon sebelum dikemaskan dengan lapisan jernih.
Keempat-empat sudut dipasangkan dengan rim HRE bersaiz 19 inci di depan dan 20 inci di bahagian belakang, serta balutan tayar Michelin Pilot Sport 4S bersaiz 345 di bahagian belakang.

Sistem brek pula terdiri daripada angkup Brembo enam omboh, sementara sisa pembakaran pula disalurkan keluar menerusi sistem perpaipan SpeedKore.
Sementara ruang kabin pula menggandingkan elemen klasik dan moden, seperti kluster meter analog, rekaan stereng yang ringkas, dan tombol penukaran gear yang agak moden untuk sebuah Dodge Charger.