SPAD didakwa gagal fahami pengguna

oleh Careta.my|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menuduh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) gagal untuk berkomunikasi dengan pengguna pengangkutan darat dalam menangani beberapa isu.

Menurut berita yang dilaporkan oleh The Sun , presiden Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Kebangsaan (4PAM), Ajit Johl berkata sudah tiba masanya suruhanjaya tersebut mengambil kira pendapat awam, terutama selepas pengumuman kenaikan tambang untuk perkhidmatan keretapi dan teksi.

4PAM mendakwa persatuan tersebut tidak pernah dipanggil untuk berbincang dengan pihak SPAD tentang tarif terbaru tambang perkhidmatan-perkhidmatan tersebut, atau struktur harga tambang untuk projek Bus Rapid Transit Aliran Sunway (Sunway BRT).

"4PAM ialah satu-satunya NGO yang mewakili pengguna pengangkutan awam, dan sebagai ahli gabungan Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), objektif 4PAM ialah untuk mempromosikan penggunaan pengangkutan awam di kalangan rakyat Malaysia," ujar Ajit.

Ajit turut mempersoalkan kejujuran SPAD dan meminta pegawai SPAD untuk membuktikan ia membantu pengguna pengangkutan awam.

"Kami faham keperluan untuk mengimbangkan kepentingan awam dengan peningkatan kos keperluan, tetapi SPAD sepatutnya memahami harapan rakyat tentang kualiti perkhidmatan yang ditawarkan agar berpadanan dengan kos kenaikan," dia menambah.

Ajit seterusnya mempersoalkan kenapa masih ada pemandu teksi yang gagal menggunakan meter, walaupun tambang teksi telah dinaikkan sejak bulan Mac lalu.

"Kami sudah banyak kali menyuarakan pendapat kami bahawa kenaikan tambang bukan penyelesai masalah mutu perkhidmatan yang rendah. Ini semua akan mendorong pengguna untuk mencari perkhidmatan alternatif lain seperti teksi sapu, Uber atau GrabCar," Ajit menambah.

The Sun juga turut bertanya samada 4PAM pernah berkomunikasi secara formal dengan SPAD, dimana Ajit menjawab sudah dua kali 4PAM menulis surat secara rasmi kepada SPAD untuk jemputan duduk berbincang tetapi tidak mendapat sebarang jawapan rasmi dari SPAD.

Pendapat Careta, umum sudah tahu akan masalah teksi di dalam negara, dan agak menghairankan SPAD yang bertaraf suruhanjaya dan mempunyai julat kuasa yang lebih besar dari JPJ masih gagal berbuat sesuatu untuk menaikkan martabat pengangkutan awam negara, terutama teksi.

Bagaimanapun, SPAD akan mengusulkan cadangan Pinda Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 untuk menaikkan taraf perkhidmatan dan kebajikan pemandu teksi.