Southvan Allrounder tawar solusi van camper yang versatil

oleh Mohamad Hanif|
Satu persamaan yang wujud di dalam apa jua genre kenderaan camper - anda perlu bijak untuk memaksimumkan penggunaan ruang yang sudah tersedia kecil itu bagi memuatkan pelbagai jenis ciri dan kemudahan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sudah banyak contoh yang pernah Careta utarakan sebelum ini, namun contoh yang kami paparkan ini menawarkan solusi yang agak bijak untuk sebuah van camper.

Southvan Allrounder - menggunakan asas daripada Ford Transit Custom - dihasilkan untuk menawarkan pakej camper tanpa mengorbankan jumlah penumpang yang boleh dimuatkan.

Bergantung kepada konfigurasi yang diinginkan, anda sebenarnya boleh memuatkan sehingga sembilan orang pada satu-satu masa.
 

Ford


Apa yang membuatkan Allrounder ini lain daripada yang lain adalah rekaan sistem rel pada bahagian lantai  yang membolehkan anda mampu memasang atau mencabut mana-mana kerusi yang tidak diingini dengan mudah.

Bila kami kata sembilan orang, ia bukanlah untuk orang bersaiz dewasa yang normal..

Ini kerana tempat duduk yang dipasang pada Southvan Allrounder ini lebih kecil dimensinya bagi memuatkan rak storan secara bersebelahan.
 

Ford


Tempat duduk yang kecil itu boleh dibaringkan untuk mencipta ruang tidur yang boleh memuatkan dua orang dewasa tidur, dan tambahan dua orang lagi pada bahagian khemah bumbung pop-up.

Selain daripada itu, Allrounder turut menampilkan sebuah blok dapur Allrounder Light yang boleh ditarik keluar, bermakna anda boleh memilih sama ada untuk memasak di dalam van atau di luar jika cuaca mengizinkan.
 

Ford


Blok dapur yang kecil ini boleh memuatkan sebuah peti sejuk, stesen kuasa boleh alih, dan sinki, sementara pilihan yang lebih murah pula tidak didatangkan dengan stesen kuasa, akan tetapi dengan peti sejuk yang lebih besar.

Jika anda tidak mempunyai keluarga yang besar, ruang belakang Ford Transit ini juga boleh digunakan untuk membawa motosikal peribadi.
 

Ford


Secara standard, Southvan Allrounder dijual pada harga €51,990 (RM251,291) menggunakan Ford Transit Custom Trend yang dikuasakan oleh enjin 2.0 liter EcoBlue 129 hp dan enam tempat duduk, lengkap dengan ciri tempat duduk/katil dan bumbung pop-up.

Sementara varian Trail berharga €54,300 (RM262,456) pula didatangkan dengan ciri tambahan seperti LSD mekanikal dan gril hadapan ala-ala Raptor.

Untuk mereka yang mahukan pakej lengkap dengan blok dapur Allrounder Light, harga jualan bermula dari €56,680 (RM273,960), sementara tambahan tempat duduk bermula dari €830 (RM4,012).

Sumber: Southvan