SOROK DADAH RM6.5 JUTA DALAM BONET BENTLEY, DUA LELAKI DITAHAN

oleh Penyumbang Rencana 2|
POLIS merampas hampir 130 kilogram dadah jenis methamphetamine bernilai RM6.5 juta dalam bonet sebuah kereta mewah jenis Bentley Continental 6.0 Flying Spur semasa melalui sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Gopeg, Rabu lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, dalam kejadian kira-kira 7.30 petang itu, dua lelaki berusia 41 dan 47 tahun yang berada dalam keadaan mencurigakan turut ditahan.
AION MREC Banner Campaign May 2024

“Bonet kereta tersebut telah diubah suai ada ruang penyimpanan khas. Hasil pemeriksaan yang telah dijalankan ke atas kereta yang dipandu oleh seorang lelaki Cina, kita telah menjumpai 117 bungkusan teh cina yang di dalamnya mengandungi 125.5 kilogram dadah jenis methamphetamine.

“Pemeriksaan lanjut polis turut menemui enam bungkusan teh cina mengandungi 6.28 kilogram methamphetamine diletak di ruang penyimpanan tayar tambahan bahagian belakang kereta mewah terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Ipoh, hari ini.

datuk mior faridalathrash wahid menunjukkan dadah yg dirampas

Menurut Datuk Mior Faridalathrash, ujian saringan terhadap kedua-dua suspek mendapati seorang positif methamphetamine manakala seorang lagi negatif.

Ujar beliau, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM3,390 dan kedua-dua suspek ditahan di IPD Kampar untuk siasatan lanjut.

Datuk Datuk Mior Faridalathrash berkata, kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula 24 hingga 30 Jun.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

 


Artikel oleh Hamimah Hamid dan Mohd UmzarulFaiz Umar