SOP pengurusan kenderaan terbiar dijangka berkuatkuasa Julai ini - Anthony Loke

oleh Mohamad Hanif|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Garis panduan pengurusan kenderaan terbiar yang ditinggalkan di kawasan awam akan dibentang dalam mesyuarat Kabinet pada April nanti, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Anthony menjelaskan selepas garis panduan tersebut mendapat persetujuan jemaah Kabinet, penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) akan bermula pada Julai nanti.

Ujar beliau, sebelum ini pihak PBT sering berdepan masalah untuk menguruskan kenderaan terbiar kerana tiada prosedur operasi standard (SOP) berkaitan perkara itu.

"Garis panduan baru ini telah dibangunkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan mereka telah bantangkan pada hari ini iaitu ada proses-proses dan carta aliran pengurusan garis panduan itu.
"KPKT akan membentangkan garis panduan baru ini pada April nanti selepas dibentangkan ke kabinet ia akan dibawa ke Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan pada Jun nanti.

"Kita jangkakan garis panduan baru ini boleh dilaksanakan sepenuhnya pada Julai tahun ini," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pengangkutan Negara Bilangan 1 2019, pada Selasa.
 


Menurut Anthony, garis panduan yang akan dibentangkan itu melibatkan semua aspek bermula dengan kenderaan berkenaan ditarik, pencarian pemilik sehinggalah ia dilupuskan.

“Tiada apa-apa bayaran akan dikenakan kepada pemilik. Jika ada kereta terbiar, kereta itu akan ditarik dan kita akan siasat siapa pemilik serta latar belakang kenderaan sebelum kereta dihantar ke jawatankuasa pelupusan.

“Wang hasil pelupusan selepas ditolak kos-kos yang ditanggung oleh PBT akan disimpan selama dua tahun bagi membolehkan pemilik membuat tuntutan. Kereta berpemilik pula boleh dituntut dalam masa 14 hari sebelum proses pelupusan,” katanya.

Untuk rekod katanya, ada PBT perlu membeli trak tunda berharga RM100,000 selain Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) membelanjakan RM564,000 untuk menyewa depoh simpanan dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) membelanjakan RM40,000 untuk pengiklanan notis.

Dalam perkembangan lain, Anthony berkata, mesyuarat berkenaan juga telah bersetuju untuk menyerahkan pengurusan bas henti-henti kepada kerajaan negeri kerana mereka lebih tahu mengenai perkhidmatan yang diperlukan di setiap negeri.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri perlu memberi subsidi. Mereka juga akan diberikan kuasa untuk melantik syarikat pengendali. Sebelum ini kerajaan beri semua subsidi, sekarang jika negeri itu kaya mereka boleh beri lebih subsidi dan jika miskin kerajaan akan berikan lebih,” katanya. 


Laporan dipetik dari Astro Awani