Berbeza dengan versi yang diperlihatkan di Japan Mobility Show tahun lepas, Afeela EV membawakan perubahan rekaan yang lebih mirip kepada model sebenar yang bakal diproduksikan pada tahun depan.
Dari segi ukuran, Afeela kini membawakan dimensi yang lebih besar, iaitu sepanjang 4,915 mm (+20 mm), lebar 1,900 mm, tinggi 1,460 mm dengan jarak antara roda sepanjang 3,000 mm.
Antara perubahan rekaan yang boleh dikesan termasuklah bampar baharu dan lampu utama yang telah dikemaskini, rekaan tiang yang lebih tebal, serta kemunculan cermin sisi tradisional.
Selain itu, bahagian belakang sedan ini turut ditambah baik dengan kehadiran bampar baharu, trunk dan unit lampu yang telah disemak semula.
Susun atur papan pemuka adalah hampir sama dengan model terdahulu.
Apa yang berubah adalah konsol tengah yang kini menempatkan slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar berkembar, roda stereng yoke serta cermin padang belakang baharu.
Dari segi kuasa pula, Afeela EV membawakan tetapan motor elektrik berkembar 483 hp dengan sistem pacuan semua roda, dan pek bateri lithium-ion berkapasiti 91 kWh.
Difahamkan, Afeela EV menyokong pengecasan pantas 150 kW, selain pengecasan Tahap 2 11 kW.
Sony Honda Mobility turut mengumumkan kerjasama dengan beberapa pihak, seperti contoh Microsoft untuk membangunkan sistem bantuan suara berasaskan Azure OpenAI.
Selain daripada itu, kolaborasi bersama Epic Games pula bertujuan untuk menghasilkan imej paparan skrin yang interaktif, dan dalam masa yang sama mampu meningkatkan aspek keselamatan.
Akhir sekali, Sony Honda Mobility mengumumkan kerjasama dengan Polyphony Digital di mana sedan Afeela EV ini boleh 'dipandu' secara maya menerusi permainan simulasi perlumbaan Gran Turismo 7 pada tahun ini sebelum ia dilancarkan secara rasmi.