Sondors Metacycle 2021: motosikal elektrik mampu milik dengan jarak operasi 129 km

oleh Mohamad Hanif|
Walaupun tidak semeriah segmen kenderaan elektrik yang kini sedang kian meningkat naik, segmen motosikal elektrik juga tidak kurang menariknya sejak kebelakangan ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Pendatang baharu Sondors tampil dengan sebuah produk yang boleh dikatakan cukup mampu milik dan dalam masa yang sama membawakan penampilan yang agak menarik perhatian.

 


Dengan tanda harga sekitar $5,000 (RM20,260), Sondors Metacycle membawakan rekaan ringkas di mana rangkanya diperbuat daripada aluminium dan memiliki berat sekitar 91 kg sahaja.

Disebabkan reka bentuk yang begitu kurus, Metacycle mampu disimpan di dalam ruang yang sempit, dan terdapat ruang pengecasan peranti pintar yang terletak berhadapan pelana dan lengkap dengan pelindung lut sinar!

 


Trenkuasa elektrik Metacycle ini terdiri daripada pek bateri berkapasiti 4kWh yang mampu membenarkan jarak operasi sejauh 129 km, dan motor elektrik yang berupaya menghasilkan 11 hp/108 Nm.

Angka output itu boleh ditingkatkan kepada 20 hp dan daya kilas 271 Nm bagi menjadikan tunggangan seharian yang lebih mengujakan, dengan kelajuan tertinggi dihadkan kepada 130 km/j sahaja.

 


Selain daripada mampu dicas seperti tipikal motosikal dan kereta elektrik, Sondors menjadikan pek bateri Metacycle ini mudah untuk dicabut dan dicas pada lokasi yang berbeza.

Pra-tempahan untuk model Sondors Metacycle ini sudah pun dibuka manakala penghantaran ke pelanggan di US akan mengambil tempat pada suku keempat tahun 2021.