Smartlane bakal atasi kesesakan laluan Setia Alam-Shah Alam waktu puncak

oleh Mohamad Hanif|
Bermula 23 Oktober akan datang, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) merancang untuk memperkenalkan Inisiatif Ujian SmartLane secara manual untuk mengatasi aliran kesesakan trafik di laluan Setia Alam menuju ke laluan keluar di Plaza Tol Shah Alam.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Selepas menjalankan penilaian dan pemerhatian, PLUS merancang untuk melaksanakan teknologi SISTEM PENGANGKUTAN PINTAR (ITS) dan memantapkan inisiatif SmartLane secara elektronik, iaitu pendekatan sama yang telah digunapakai di United Kingdom dan Belanda.

Langkah ini bertujuan mengoptimumkan penggunaan semua laluan bagi membantu melancarkan aliran trafik sekaligus untuk mengurangkan kesesakan bagi para pelanggan yang menggunakan laluan di antara Setia Alam ke Shah Alam di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) pada pagi waktu puncak.

Pengujian sistem SmartLane ini akan dilaksanakan di Lebuh raya NKVE antara KM3.2 hingga KM9.2 (Arah Utara) mulai jam 6:30 pagi hingga 9:30 pagi pada setiap hari Isnin hingga Jumaat (sila rujuk rajah yang disertakan).

 


Dalam tempoh waktu puncak tersebut, ruang paling kiri yang sedia ada dibuka sebagai laluan tambahan sementara untuk menambah kapasiti lorong dan membantu melancarkan aliran trafik.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi berkata, “Berdasarkan kajian, pertembungan trafik serta permukaan jalan yang sedikit mendaki telah menyumbang kepada kesesakan di NKVE. Projek pengujian SmartLane ini adalah langkah proaktif bagi membantu pada pelanggan menikmati perjalanan yang lancar.”

Zakaria menambah, PLUS juga telah melakukan pelbagai persediaan sebelum melaksanakan inisiatif ini.

Antaranya menempatkan anggota Polis dan PLUSRonda di lokasi, memasang papantanda trafik, menyediakan trak tunda tambahan di lokasi strategik dan menyediakan hentian kecemasan di KM5.6.

“Berdasarkan rekod PLUS, sebanyak 302,000 kenderaan menggunakan NKVE pada setiap hari di mana 22% daripadanya memasuki lebuhraya berkenaan secara serentak pada waktu puncak di sebelah pagi.

Walau bagaimanapun, dengan pelaksanaan SmartLane, ia dijangka dapat mengurangkan kesesakan pada waktu puncak di laluan Setia Alam-Shah Alam sebanyak 30% hingga 40%, sekiranya aliran trafik lancar tanpa sebarang insiden seperti kemalangan atau kerosakan kenderaan di laluan tersebut. Namun begitu, PLUS turut menyediakan trak tunda untuk bersiap sedia di lokasi untuk menghadapi sebarang kejadian,” jelas beliau.

Pelaksanaan SmartLane terbahagi kepada dua fasa, di mana Fasa Pertama akan beroperasi secara manual berdasarkan papan tanda jalan yang dipasang di sepanjang laluan terbabit.Fasa Kedua SmartLane dijangka akan beroperasi pada Suku Kedua 2020 dengan menggunakan teknologi Sistem ITS sepenuhnya.

Teknologi ITS yang digunakan pada Fasa Kedua akan membolehkan PLUS untuk mengurus penguatkuasaan dan menjalankan penyuraian trafik dengan lebih efisien.

Kesemua sistem ini akan dapat dipantau dan diuruskan melalui Pusat Kawalan Trafik PLUS di ibu pejabatnya, Persada PLUS.

“Kami juga bercadang akan memperluaskan inisiatif SmartLane di lain-lain lokasi di lebuh raya PLUS pada masa akan datang,” tambah Zakaria.

“Pada masa yang sama, kami menasihatkan semua pelanggan lebuh raya supaya mematuhi semua papan tanda keselamatan, mematuhi had kelajuan, memberi laluan kepada kenderaan kecemasan dan lebih berhati-hati ketika melalui laluan tersebut.”

Inisiatif SmartLane ini turut mendapat sokongan dan kerjasama penuh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS). 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Penutupan lorong tersebut dibuat untuk memberikan laluan kepada kerja-kerja naik taraf Jambatan…
Berita Domestik
Insiden nahas yang berlaku itu adalah disebabkan oleh kekeliruan pertindihan garisan jalan yang…
Berita Domestik
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya…