Smart Tag mungkin bersara 4 tahun lagi

oleh Shahrim Tamrin|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Jika anda adalah pengguna setia lorong smart tag, anda ada lagi empat tahun (paling lama) untuk kerap menukar bateri 9 volt peranti itu dan berdoa agar tidak sangkut di lorong smart tag kerana ragam alat tersebut.

 

Walaupun teknologi RFID kini sudah memasuki tempoh percubaan, tiada kata putus dapat diberikan oleh Kementerian Kerja Raya berhubung dengan jangka hayat penggunaan ‘on board unit’ (OBU) atau ‘Smart Tag’ sebagai medium kutipan tol di lebuhraya.

 

“Selaras dengan hasrat kerajaan untuk menggunakan RFID yang mempunyai banyak kelebihan berbanding teknologi infrared, tiada lagi tambahan lorong smart tag akan dilaksanakan,” kata Menteri Kerja Raya Baru Bian di dalam temubual eksklusif bersama Careta.my.

 

Beliau menyatakan bahawa laluan khas smart tag akan hanya ditamatkan apabila proses ‘multi lane free flow’ (MLFF) atau aliran bebas berbilang lorong (tanpa palang) di plaza tol bermula.

 

'Multi lane free flow' akan hanya dimulakan apabila sistem RFID digunakan secara meluas di lebuhraya,” katanya.

 

 

Menurutnya lagi, Touch 'n Go Sdn Bhd telah menamatkan penjualan OBU Smart Tag kepada pengguna lebuhraya sejak Ogos tahun ini. 

 

Dari laporan media tempatan, bermula 1 Julai tahun ini, Touch 'n Go juga telah menamatkan perkhidmatan selepas jualan untuk peranti OBU 330 yang telah pun berada di dalam pasaran sejak 10 tahun lalu.

 

Apabila diajukan pertanyaan samada lorong smart tag akan 'dibersarakan' dalam jangkamasa empat tahun atau menjelang 2022, Baru menjawab, “Ya boleh terjadi…'it's within reasonable time' (dalam jangkamasa yang boleh diterima) jika semua proses tol tanpa palang dan RFID berjalan lancar.”

 

Di bawah perancangan asal oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Careta telah dapat melihat kertas kerja untuk sistem RFID sebagai fasa awal ke arah lorong tanpa palang yang disasar bermula lewat 2017 di mana MLFF sepatutnya bermula tahun hadapan.

 

Menteri Kerja Raya menjelaskan bahawa pembentangan undang-undang baru di Parlimen juga perlu dilakukan sebelum perlaksanaan MLFF.

 

"Ini juga termasuk koordinasi pelbagai agensi kerajaan bagi memantapkan rekod kenderaan dan penguatkuasaan sebagai memenuhi keperluan perundangan apabila kita sudah mula laksana tol tanpa palang,” kata Baru.