Untuk pasaran Eropah, smart #3 boleh didapati dalam versi motor elektrik tunggal, dengan kuasa 268 hp dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat.
Versi talaan Brabus pula didatangkan dengan motor elektrik berkembar berkuasa 422 hp, kit badan yang lebih sporti, serta pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.7 saat.
Pek bateri berkapasiti 66 kWh pula membenarkan jarak gerak sehingga 455 km untuk sekali cas penuh (data WLTP), sementara versi motor berkembar mampu bergerak sejauh 435 km.
smart #3 juga turut menyokong pengecasan pantas DC sehingga 150 kW, di mana pengecasan 10-80 peratus boleh diselesaikan dalam masa 30 minit.
Terdapat smart #3 edisi khas yang akan dilancarkan di IAA Mobility sempena ulang tahun yang ke-25 syarikat tersebut.
Dibina berdasarkan model Brabus, smart #3 25th Anniversary Edition didatangkan dengan ciri seperti bumbung panorama, unit lampu LED yang dinaiktaraf, kemasan warna dua tona, serta tempat duduk balutan kulit dua tona.
Untuk ruang kabin, smart #3 menawarkan ciri premium termasuklah sistem audio Beats dengan 13 pembesar suara, skrin paparan head-up 10 inci, skrin kluster digital 9.2 inci serta skrin sentuh di bahagian tengah bersaiz 12.8 inci.
Difahamkan, smart #3 akan mula dijual di pasaran Eropah menjelang akhir tahun ini, di mana penghantaran pertama akan dibuat pada awal tahun 2024.