SLRV Commander MAN 8x8 Two-Story - trak motorhome dua tingkat untuk seisi keluarga!

oleh Mohamad Hanif|
Anda inginkan sebuah perjalanan yang mahu memuatkan seisi keluarga dalam satu kenderaan yang menawarkan semua-dalam-satu?
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Jika hal kewangan tidak menjadi penghalang, anda boleh merujuk kepada contoh trak ekspedisi motorhome yang kami siarkan dalam artikel ini, dan boleh mula merancang untuk mendapatkan unit anda. 
 


Dibangunkan oleh syarikat SLRV dari Australia, Commander MAN 8x8 ini direka untuk memberikan segalanya yang terbaik dari segi penampilan luaran yang serba gagah serta penawaran ruang dalaman yang mewah. 

Trak asal MAN 8x8 ini hadir dengan enjin diesel enam silinder sebaris D26 berkapasiti 12.5 liter yang mampu menjana kuasa menyamai 473 ekor kuda. 

Kuasa tersebut disalurkan kepada roda menerusi transmisi automatik 12 nisbah kelajuan dan didatangkan dengan ciri manual override.
 


Dari spesifikasi kilang, trak MAN 8x8 ini mempunyai empat differential lock, transfer case dua kelajuan dan juga gandar jenis planetary

Pihak SLRV kemudian menambah beberapa komponen tambahan seperti rak bumbung yang dilengkapi tangga, cangkuk hadapan dan belakang berkeupayaan menarik beban seberat 13,608 kilogram serta sistem regulasi tekanan tayar semi automatik.

Bagi memastikan bekalan diesel mencukupi untuk keperluan ekspedisi, pihak SLRV telah melengkapkan sebuah tangki berkapasiti 1,000 liter yang cukup besar untuk segalanya - tujuan memasak, pemanas air sehinggalah kepada oven. 
 


Sistem alternator 9.5 kVA - yang pertama seumpamanya di dunia RV - serta panel solar bumbung digunakan bagi menyalurkan kuasa serta mengecas bateri lithium-ion Mastervolt. 

Untuk keperluan bekalan air yang mencukupi, SLRV menawarkan beberapa kapasiti tangki bermula dari 500 liter sehingga 1,000 liter, malah terdapat ciri mengasingkan bekalan air masak daripada bekalan air mentah. 

Tambah lagi duit, anda boleh mendapatkan sistem penapisan air yang terbaik dan boleh disambungkan kepada tangki air utama. 
 


Sebagai sebuah pembina trak motorhome kustom, SLRV tidak menyediakan spesifikasi khusus pelan lantai kerana mereka lebih gemar membiarkan pelanggan memilih sendiri apa yang mereka mahukan. 

Biarpun apa juga spesifikasi motorhome yang dikehendaki (satu tingkat atau dua tingkat), SLRV tidak mengenepikan aspek kualiti di mana kotak motorhome tersebut diperbuat daripada bahan komposit gentian kaca gred ketenteraan, dan dipasang kemas kepada casis menerusi sistem cagak jenis torsion-free empat poin.

Trak ekspedisi MAN 8x8 ini mampu memuatkan sehingga lapan orang (atau lebih sekiranya anda pandai susun), di mana ruang tidur utama dimuatkan pada tingkat dua. 
 


Ruang tingkat atas bukan sahaja luas (untuk sebuah motorhome dua tingkat), bahkan ia juga turut menyediakan sebuah TV yang dipasang pada dinding untuk tujuan hiburan sebelum masuk waktu tidur.

Sekiranya terdapat tambahan dua lagi tetamu, mereka boleh memilih untuk tidur di tingkat bawah di mana terdapat sebuah katil tambahan boleh diturunkan di atas ruang makan. 

Tingkat bawah selain memuatkan sebuah katil yang tersembunyi, ia juga memuatkan ruang yang mencukupi untuk memuatkan ruang memasak countertop, dapur dual-burner, mikrowave, dan peti sejuk di bahagian bawah tempat memasak itu tadi.

Sementara, di bahagian luar anda juga boleh memuatkan sebuah mesin basuh!

 


Seperti yang kami sebutkan tadi, trak Commander MAN 8x8 ini tidak mempunyai sebarang pelan lantai khusus, dan jika anda mahu, anda boleh berhubungan terus dengan pihak SLRV untuk membincangkan apakah spesifikasi motorhome yang anda inginkan. 

Semua ini boleh didapati dengan harga bermula dari AU$1.5 juta (~RM4.28 juta) dan anda boleh mendapatkan sebuah trak motorhome dua tingkat yang mampu membawa seisi keluarga untuk ekspedisi melarikan diri dari kesibukan dunia. 

Sumber: SLRV menerusi New Atlas