Menurut laporan rakan media MotoMalaya, skuter yang bakal dibawa masuk secara rasmi oleh MForce itu bakal membawakan nama WMOTO XDV 250i, dengan dimensi yang lebih besar berbanding penawaran skuter Xtreme 150i sedia ada.
Malah, pihak MForce baru-baru ini telah pun selesai melakukan acara pra-tonton kepada wakil pengedar, memberikan bayangan pelancaran rasmi akan berlangsung dalam masa terdekat.
Mengikut spesifikasi, skuter adventure yang dijenamakan semula daripada model Longjia XDV 250Si itu dikuasakan dengan enjin silinder tunggal bersesaran 244.3 cc sejukan cecair berkuasa 24.13 hp @ 9,750 rpm dan daya kilas 22.5 Nm @ 6.750 rpm.
Ia membawakan sistem suspensi fork hadapan Kayaba 37 mm, diikuti dengan penyerap hentak tunggal Kayaba di belakang, sementara sistem brek pula terdiri daripada angkup J.Juan dengan rotor 240 mm depan dan 220 mm belakang, dibantu dengan sistem brek ABS dua saluran.
XDV 250i ini juga menawarkan ruang meletakkan barang yang luas di bawah tempat duduk, kapasiti tangki sebesar 13.5 liter, slot pengecasan USB, paparan skrin berwarna TFT serta penghadang angin boleh laras.
Di pasaran China, skuter XDV 250Si itu turut ditawarkan dengan pemasangan kotak storan di bahagian belakang, kiri dan juga kanan.
Sebagai rujukan, harga jualan skuter ini bermula dari 22,980 yuan (RM15,028) di pasaran China.
Sumber: MotoMalaya