Skuter BMW C 400 X, C 400 GT 2021 dilancarkan - bermula dari RM44,500

oleh Mohamad Hanif|
BMW Motorrad turut memperkemaskan penawaran dua buah skuter urban, iaitu BMW C 400 X dan BMW C 400 GT untuk pasaran Malaysia.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Antara perubahan yang dibawakan termasuklah sistem brek yang telah ditambahbaik, enjin silinder tunggal dengan ciri baharu E-gas, sistem pengurusan enjin serba baharu, klac centrifugal, Kawalan Kestabilan Automatik yang telah dioptimasikan, serta penambahan sistem pencahayaan pada ruang storan dan slot pengecasan USB.
 

C 400 GT


Dari segi kuasa, kedua-dua skuter C 400 X dan C 400 GT datang dengan enjin silinder tunggal bersesaran 350 cc yang menghasilkan 34 hp dan 35 Nm, dipadankan dengan transmisi CVT.

Talaan semula telah diberikan bagi menjadikan tunggangan lebih lancar serta respon pendikit yang lebih sensitif terima kasih kepada pendikit kawalan elektronik (E-gas).

Selain daripada itu, antara perubahan lain termasuklah modifikasi terhadap penukar bermangkin, penderia oksigen, modifikasi terhadap kepala silinder, pendawaian abah-abah yang disesuaikan, dan kawalan kelajuan melahu yang dikawal menerusi pintasan injap pendikit serta sistem turbulensi.
 

C 400 X


Untuk BMW C 400 X, skuter ini didatangkan standard dengan lampu utama LED tidak simetri serta lampu nyalaan siang LED, sementara BMW C 400 GT pula didatangkan dengan pencahayaan LED berkembar dengan unit DRL secara standard.

Sistem brek skuter C 400 X dan C 400 GT disemak semula dengan penggunaan angkup brek baharu dengan brek cakera berkembar di bahagian hadapan yang lebih stabil dengan poin tekanan yang lebih jelas.
 

GT


Sementara jarak pergerakan tuil brek untuk roda hadapan dan belakang juga telah dijajarkan semula untuk operasi brek yang lebih seragam, dibantu dengan ciri keselamatan ABS dan Kawalan Kestabilan Automatik (ASC).

Skrin paparan bersaiz 6.5 inci TFT berwarna itu didatangkan dengan BMW Motorrad Multi-Controller, serta sokongan kepada aplikasi BMW Motorrad Connected.

Kedua-dua skuter C 400 X dan C 400 GT itu kini dilengkapi Keyless Ride sebagai ciri standard yang menawarkan pengaktifan transponder untuk kunci stereng, pencucuhan, penutup tangki bahan api serta peranti anti-pencuri.
 

GT


Harga jualan di atas jalan bermula dari RM44,500 untuk C 400 X, atau RM48,500 untuk skuter maxi C 400 GT.

Dengan pelan pembiayaan BMW Group Financial Services Malaysia, anda boleh mendapatkan skuter BMW C 400 X dengan ansuran bulanan RM550*, atau BMW C 400 GT dengan ansuran RM590* setiap bulan.
(berdasarkan pinjaman 80 peratus untuk tempoh empat tahun)

 

Berita Berkenaan

Pelancaran
BMW Motorrad membawakan dua varian skuter premium bersaiz sederhana iaitu BMW C 400 X dan C 400 GT…