SKS Airways mula penerbangan ke Tioman 1 Mei

oleh SALINA JALIL|
gambar hiasan
SKS Airways akan memulakan penerbangan sulung ke Pulau Tioman dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang pada 1 Mei ini.


Pengarah SKS Airways, Datuk Rohman Ahmad, berkata penerbangan ke Pulau Tioman akan menyediakan akses mudah ke pulau berkenaan untuk kedua-dua pelancong domestik dan antarabangsa.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

"Ini sejajar dengan permintaan semasa bagi perjalanan domestik dan pembukaan semula sempadan, apabila negara bergerak ke arah fasa endemik COVID-19," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pesawat Twin Otter DHC6-300 turboprop 19 tempat duduk syarikat penerbangan itu akan menggunakan laluan Subang-Pulau Tioman empat kali seminggu dan kekerapan penerbangan akan ditambah kepada dua penerbangan sehari bermula 1 Julai hingga 29 Oktober 2022.

 

SKS Airways adalah syarikat penerbangan komersial yang menawarkan perkhidmatan penumpang dan sewaan, menumpukan kepada laluan yang tidak disediakan perkhidmatan atau kurang menerima perkhidmatan, melengkapi syarikat penerbangan serantau sedia ada.

 

Ia diberikan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) penuh oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) pada 1 Januari lalu.

 

SKS Airways ditubuhkan pada 13 November 2017 dengan sahamnya dipegang oleh rakyat Malaysia.

 

Syarikat itu adalah sebahagian daripada kumpulan syarikat SKS Group, yang diasaskan pada 1983 dengan perniagaan merentasi pembangunan hartanah, pegangan pelaburan, hospitaliti serta pembiayaan kredit di Malaysia dan Australia.

 

 

Berita Harian