Skoda Mountiaq - idea geliga para pelajar sekolah vokasional Skoda

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Idea yang tercetus oleh Skoda ini mengingatkan penulis kepada Nippon Automotive College (NATS), di mana idea para pelajarnya boleh tahan gila-gila, ada yang masuk akal dan sesetengahnya mungkin membuatkan anda mengurut dada. 

Akan tetapi, pujian harus diberikan kerana mereka mampu tampil dengan idea tersendiri, yang mana mungkin penulis sendiri akan menyerah kalah dan lebih rela menonton video-video modifikasi dari Hot Version.
 


Menerusi fasiliti Skoda Vocational School, Skoda mempunyai cara tersendiri bagi membangunkan sebuah model konsep daripada barisan model sedia ada. 

Setelah berbulan-bulan menjalani latihan dan lebih 2,000 jam dihabiskan, 35 orang para pelajar Skoda akhirnya mampu memperlihatkan sebuah model konsep Skoda Mountiaq yang tidak pernah dipamerkan sebelum ini.
 


Memandangkan ia berasal daripada sebuah SUV (Skoda Kodiaq), dimensi bed belakang juga sedikit pendek, namun tetap mempunyai ciri-ciri yang praktikal untuk kegunaan seharian, seperti ruang barang tersembunyi dan tailgate berfungsi sepenuhnya.

Untuk menjadikan ia sebuah trak pikap yang mampu beroperasi, Mountiaq menerima beberapa modifikasi seperti penambahan bull-bar, cangkuk penunda, snorkel, bar lampu bumbung, jarak kelegaan tanah setinggi 290 mm, dan rim Rockstar II bersaiz 17 inci.
 


Jika dibandingkan dengan Kodiaq, Mountiaq sebenarnya lebih panjang 302 mm, namun jarak antara roda telah dipendekkan sebanyak 3 mm sahaja dengan berat bersih 2,450 kg. 

Trak pikap unibodi ini dikuasakan oleh enjin petrol TSI empat silinder sebaris yang mampu menjana 187 kuasa kuda. 
 


Ciri sampingan juga tidak begitu mengecewakan yang datang daripada idea pelajar sekolah vokasional, seperti logo Skoda berlampu pada siling kabin, peti sejuk terbina dalam, dan juga sistem infotainmen Columbus dengan speaker berkuasa 320 watt, amplifier 2,000 watt dan subwoofer 2,000 watt. 

Jadi, apakah pendapat anda berkenaan idea Skoda Mountiaq yang dibangunkan oleh para pelajar Skoda Vocational School ini?
 


Jangan tanya soal nama, penulis syak mungkin pencetusnya memang orang Utagha tulen.