Apa yang diketengahkan oleh ŠKODA?

Fokus penjenamaan kali ini adalah pada bahasa reka bentuk dan logo baharu dan juga identiti korporat (CI) yang diperkemaskan secara komprehensif.
Selain itu, ŠKODA akan memacu dan mengembangkan penawaran kenderaan elektrik dengan melancarkan tiga model baharu seawal 2026.
Bayangan kenderaan tersebut boleh dilihat pada model konsep VISION 7S.
Tech-Deck Face, warna hijau

Reka bentuk kenderaan ŠKODA biasanya tampil ringkas dan bersahaja namun sudah berubah dengan model-model terbaru yang tampil sedikit agresif dan penggunaan garis tajam.
Perubahan untuk era elektrik dan digital diterjemahkan pada gaya depan Tech-Deck Face dan boleh dilihat pada model yang akan diperkenalkan bermula tahun 2023.
ŠKODA juga akan menggunakan garis badan yang jelas dan berkurang bagi menonjolkan keringkasan dan nilai model baharu dan bahan lestari untuk komponen dalaman.

Model sedia ada ŠKODA sudah pun hadir dengan permukaan yang tidak rumit dan ringkas dan perubahan terbaru ini dilihat masih lagi berpaksi pada asas sama.
Satu lagi aspek utama yang berubah ialah logo baharu ŠKODA tidak lagi menggunakan gaya tiga dimensi dan selari dengan trend pemasaran dari percetakan kepada dalam talian.
Untuk warna identiti korporat, ŠKODA menggunakan dua rona warna hijau berbeza iaitu Emerald dan Electric Green yang mewakili ekologi, kemampanan dan mobiliti elektrik.

ŠKODA VISION 7S
Seperti yang boleh dilihat pada kereta hari ini, ada pengeluar yang mengambil pendekatan agresif dengan garisan tajam dan permukaan kompleks.
VISION 7S memberi bayangan pertama bahasa reka bentuk baharu ŠKODA dan gaya depan Tech-Deck Face.
Bahagian depan model konsep ini masih kekal dengan elemen sedia ada seperti garisan ŠKODA.
Logo diganti dengan tulisan baharu ŠKODA dan ditemani lampu ambien melintang dan gril depan adalah evolusi kepada rekaan sedia ada.

Satu aspek yang menonjol dan selari dengan perkembangan semasa ialah lampu depan kecil. ŠKODA menggunakan bentuk T dan begitu juga di belakang.
Seperkara lagi yang menarik ialah bampar depan dan belakang VISION 7S diperbuat daripada tayar terpakai dan begitu juga dengan lining arka roda.
Pada bahagian sisi ŠKODA menggunakan tornado line bagi memisahkan bahagian atas dan bawah, garisan itu menarik dengan bentuk melengkung.

Walaupun berkotak, VISION 7S digayakan dengan elegan dan boleh dilihat pada lengkukan badan dan bumbung yang landai ke belakang. Bentuk tiang D dibuat lebar dan menonjol.
Badan kereta dilitupi warna Explorer Green dan warna kusam pertama untuk ŠKODA.
Sebagai sebuah kereta elektrik, ŠKODA memaklumkan VISION 7S boleh dipandu lebih 600 kilometer (kitaran WLTP) dan dibekalkan bateri 89 kWj.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
