Dari segi reka bentuk, ENYAQ iV vRS menyerlah dengan komponen dalam warna hitam kilat seperti bingkai gril dan tingkap, cermin sisi dan peresap belakang.
Bampar depan dipasangkan pendakap kiri dan kanan berbentuk E dan dalam warna hitam kilat. Warna yang sama turut digunakan pada logo ŠKODA dan nama model di belakang.
Skirt sisi pula menggunakan warna sama dengan badan dan pemantul warna merah direka panjang dari kanan hingga kiri bampar belakang.
Gril depan ENYAQ iV vRS bukan sekadar gril, ianya dipanggil Crystal Face dengan 131 lampu LED yang memberi nyalaan cantik.
Nyalaan itu digabungkan dengan lampu utama LED Matrix di depan dan lampu LED penuh di belakang dan memainkan animasi yang menarik.
Satu lagi ciri yang menyerlahkan ENYAQ iV vRS ialah suspensi sport yang merendahkan badan sehingga 15 milimeter di depan dan 10 milimeter di belakang.
Ciri tersebut membantu dari segi aerodinamik dan kadar seretan (CW) ialah 0.265. Plastik aero pada roda turut membantu dari segi aerodinamik.
Satu yang jelas pada ENYAQ iV vRS ialah roda standard Taurus dengan saiz 20 inci atau jika tidak memadai, pembeli boleh mendapatkan roda Vision saiz 21 inci.
Suspensi rendah dan roda besar memenuhi ruang roda dan menampakkan imej sporti pada SUV ini. Selain roda, pembeli juga boleh memesan bumbung panoramik.
Warna Hyper Green yang eksklusif untuk model vRS pula memainkan peranan penting dalam menyerlahkan ENYAQ iV vRS.
Warna hijau terang, badan rendah dan roda besar, satu kombinasi yang sempurna untuk menyerlahkan sesebuah kereta.
Bahagian dalam SUV ini menggunakan tema hitam dan sebagai kenderaan keluarga boleh memuatkan lima penumpang dan ruang bagasi dengan kapasiti 585 liter di belakang.
Seperti biasa, model sporti dilengkapi riasan ala gentian karbon pada papan pemuka dan panel pintu dan pelindung pedal aluminium.
Kerusi sport dengan logo vRS dan balutan Suedia microfibre pula nampak cantik dengan jaluran warna hijau.
Papan pemuka turut dibalut dengan Suedia dan satu lagi pilihan untuk pembeli ialah balutan kulit untuk kerusi dan papan pemuka.
Satu ciri yang menyerlahkan kemewahan SUV ini ialah lampu suasana (ambience) pada papan pemuka dan panel pintu dan menjadi kombinasi sempurna sebagai SUV sporti.
Dari segi prestasi, ENYAQ iV vRS boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.5 saat dan mempunyai kelajuan maksimum 180 km/j.
Output kuasa yang dihamburkan ialah 220 kW (299 PS) dan daya kilas maksimum 460 Nm.
Bateri 82 kWj dan pekali seretan 0.265 membolehkan SUV ini dipandu sehingga 500 kilometer (kitaran WLTP).
Menggunakan pengecas pantas dan kuasa pengecasan maksimum 135 kW, bateri ENYAQ iV vRS boleh dicas dari 10 peratus hingga 80 peratus dalam tempoh 36 minit sahaja.
Penulis: Muhammad Md Tajudin