Skoda Citigoᵉ iV - kereta elektrik aras mula bersaiz Axia, mampu capai 265 km sekali cas!

oleh Mohamad Hanif|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Sebagai sebuah jenama automotif yang tidak pernah membina sebuah kereta elektrik, adalah menjadi kelaziman untuk mereka hadir dengan sebuah produk rebadge sebagai satu batu loncatan. 

Seperti Skoda, mereka hadir dengan sebuah kereta elektrik baharu yang dinamakan sebagai Citigoᵉ iV.

Skoda Citigoᵉ iV dibangunkan berdasarkan Citigo versi petrol dan mempunyai kuasa 82 hp daya kilas maksimum 210 Nm!
 


Untuk kereta bandar bersaiz Perodua Axia (dimensi lebih kecil daripada Axia!), daya kilas tersebut mungkin agak keterlaluan, namun Skoda telah menala kembali agar Citigoᵉ iV ini mampu mencapai 100 km per jam dalam masa 12.5 saat sahaja dari pegun. 

Dari segi trenkuasa, motor elektrik adalah sama seperti apa yang didapati pada model penderma (VW e-Up) namun untuk Skoda Citigoᵉ iV ini ia didatangkan dengan pek bateri yang berbeza. 
 

 

Disebabkan pek bateri yang diletak rendah pada lantai kereta, ia masih mampu memuatkan empat orang dewasa dengan selesa, dan ruang kargo sebesar 250 liter. 

Jika tempat duduk diratakan, ia mampu mencapai ruang sebesar 923 liter.

Bateri lithium-ion berkapasiti 36.8 kWh ini mampu memberikan jarak operasi sejauh 265 km untuk sekali cas penuh. 

Cukup sesuai untuk kegunaan di dalam bandar tanpa perlu pengecasan lebih kerap.

Sistem pengecasan CCS (Combined Charging System) mampu mencapai kapasiti 80 peratus dalam masa satu jam sahaja menggunakan pengecas pantas arus terus (DC) 40 kW. 
 


Jika anda menggunakan slot pengecasan standard 7.2 kW arus ulang-alik (AC), Skoda Citigoᵉ iV memerlukan masa kira-kira 4 jam 37 minit untuk mencapai kapasiti 80 peratus. 

Manakala masa pengecasan menggunakan slot kuasa di rumah pula adalah sangat perlahan, kira-kira 12 jam 37 minit. 

Cukup masa, bangun tidur boleh terus jalan ke pejabat. 

 


Antara peralatan standard yang hadir pada varian asas Ambition termasuklah rim keluli 14 inci, gril hadapan mengikut warna badan, lampu kabus, lampu indikasi membelok pada cermin sisi dan tujuh warna pilihan (Candy White, Tornado Red, Sunflower Yellow, Kiwi Green, Deep Pearlescent Black, Crystal Blue, dan Tungsten Silver). 

Di ruang dalaman pula menampilkan papan pemuka yang direka semula, tingkap berkuasa hadapan, Climatronic, remote central locking, dok peranti pintar serta ciri keselamatan Lane Assist.
 


Manakala varian tertinggi Style pula didatangkan aksesori yang lebih mewah seperti rim aloi bersaiz 16 inci, pakej kemasan kulit, cermin sisi boleh laras dengan pemanas terbina dalam, dan tempat duduk boleh laras ketinggian. 

Skoda Citigoᵉ iV akan memasuki fasa produksi bermula suku ketiga tahun ini.