SK Gong Nangka bina simulator penerbangan guna barang terpakai!

oleh Mohamad Hanif|
Berbekalkan barangan terpakai daripada tempat duduk kereta, komputer lama dan kos keseluruhan hanya sekitar RM5,000 sahaja, sekumpulan pelajar Sekolah Kebangsaan Gong Nangka berjaya mengubah salah sebuah sudut belajar menjadi tempat simulator penerbangan.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Ia juga merupakan yang pertama seumpamanya di Terengganu untuk kategori sekolah rendah setakat ini. 

Menurut guru penyelaras Kelab Aeronautik SK Gong Nangka, Syed Hassan Syukri berkata, kos keseluruhan untuk membina alat simulator penerbangan ini hanyalah sekitar RM5,000 sahaja, jika dibandingkan dengan kos bikin menggunakan peralatan baharu sebanyak RM20,000. 

Ketika ditemubual Bernama, Syed Hassan Syukri mengakui alat simulator ini secara tidak langsung berjaya meningkatkan prestasi murid di dalam mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), terutama berkaitan dunia penerbangan.
 


Menariknya, kesemua 18 ahli Kelab Aeronautik itu turut dilengkapkan dengan uniform juruterbang setiap kali aktiviti kelab dijalankan. 

Dalam membangunkan simulator penerbangan, Syed Hassan Syukri turut mendapatkan khidmat nasihat daripada juruterbang Qatar Airways serta jurutera simulator penerbangan daripada syarikat pengendali antarabangsa. 

Ahli kelab juga turut diberikan peluang melawat beberapa lokasi berkaitan penerbangan seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud, sekolah penerbangan di Melaka, serta fasiliti penyelenggaraan pesawat MAS Engineering. 

Selain daripada alat simulator, Kelab Aeronautik turut mempunyai dua pesawat kawalan jauh, lapan model pesawat sayap pegun dan tiga model helikopter. 

Para pengunjung yang melawat kelab tersebut akan turut diberikan penerangan berkenaan kaedah pengendalian pesawat semasa pelepasan, navigasi serta pendaratan yang selamat. 

Seorang murid Tahun Enam, 'Kapten' Alya Damia Muhammad berkata penyertaannya dalam Kelab Aeronautik itu memberinya kepuasan kerana dapat menambah pengetahuan am seperti teori, prinsip sains, komponen pesawat penerbangan serta pengalaman berharga dapat berada di dalam kokpit seperti pesawat sebenar.

 

Sumber: Bernama