SJR UPDATE : PERKETAT SJR HANYA DI SEMPADAN NEGERI

oleh Penyumbang Rencana 2|
ARAHAN memperketat penguatkuasaan kawalan sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negara dalam usaha mencegah penularan wabak Covid-19 hanya akan melibatkan susur keluar tol, lebuhraya dan jalan-jalan persekutuan antara sempadan negeri.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, arahan beliau itu tidak melibatkan jalan-jalan di dalam kawasan bandar yang akan menimbulkan kesesakan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ujar Abdul Hamid, beliau maklum dengan rungutan orang ramai ekoran kesesakan yang timbul dan memohon maaf terhadap kekeliruan dan salah faham tersebut.

“Arahan saya semalam bukan untuk ketatkan sekatan jalan raya di dalam kawasan-kawasan bandar. Arahan saya iaah sekatan di susur keluar tol, lebuh-lebuh raya dengan jalan-jalan persekutuan.

“Kita faham orang ramai hendak pergi kerja dan hantar anak ke sekolah. Jadi arahan ini bukan yang dalam bandar. Saya minta maaf lah sekiranya berlaku kesesakan dan menyusahkan orang ramai dah ia sudah diperbetulkan,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Pemakaian Sayap Juruterbang dan Penutupan rasmi Kursus Private Pilot’s Licence (PPL) di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di Ipoh, hari ini.

abdul hamid bador ketika ditemui di majlis penutupan kursus pilot anggota pdrm

Menurut Abdul Hamid, objektif arahan SJR diketatkan adalah bagi menghalang berlaku pergerakan rakyat curi balik atau melintas ke negeri-negeri melalui lebuhraya dan jalan-jalan persekutuan.

Jelasnya, beliau juga telah mengarahkan supaya laluan SJR tidak dikecilkan ketika waktu puncak bagi mengelakkan kesesakan.

“Bila waktu puncak tu jangan dikecilkan laluan, jangan lah pula diperiksa dengan ketat sekali, sampai orang anak hantar anak ke sekolah pun nak minta surat.

“Saya faham masalah yang timbul itu dan dah arahkan supaya diperbetulkan. Tujuan kita lebih kepada nak sekat orang rentas negeri bagi mengelakkan wujud kluster interstate antara negeri seperti sebelum ini,” katanya.

Semalam, Abdul Hamid mengumumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperketat penguatkuasaan kawalan sekatan jalan raya di seluruh negara dalam usaha mencegah penularan wabak Covid-19, sekali gus memastikan tidak berlaku 'kluster antara negeri'.

Arahan itu dikeluarkan ekoran ada tanggapan dan dakwaan menyatakan anggota keselamatan itu bertindak sambil lewa dalam penugasan anggota serta pegawainya di sekatan jalan raya.

Sehubungan itu, Abdul Hamid mengarahkan semua Pesuruhjaya Polis dan Ketua Polis Negeri untuk mengerah anggota dan pegawai mereka mengawal setiap sekatan jalan raya dengan lebih ketat.

 

Artikel oleh Hamimah Hamid dan Mohd UmzarulFaiz Umar