Sistem Speed Trap Baharu Point-to-Point Kini Diuji di Dua Laluan Lebuhraya

oleh Qalif Latif|
Mulai bulan ini, pemandu di dua laluan lebuh raya utama negara perlu lebih berhati-hati kerana sistem penguatkuasaan had laju jenis baharu bakal diuji secara rasmi. Tidak seperti kamera statik konvensional, sistem baharu ini menggunakan kaedah pengesanan "point-to-point" bagi mengira purata kelajuan kenderaan antara dua titik tertentu.

Ujian perintis ini melibatkan dua lokasi utama iaitu laluan dari Terowong Genting Sempah ke R&R Gombak di Lebuhraya KL-Karak, serta antara Plaza Tol Senawang ke Plaza Tol Simpang Ampat di Lebuhraya Utara-Selatan. Dalam ujian ini, dua unit kamera akan diletakkan di lokasi berbeza, dan kelajuan kenderaan akan dikira berdasarkan masa yang diambil untuk sampai dari titik A ke titik B.

Jika purata kelajuan melebihi had yang ditetapkan, saman akan dikeluarkan walaupun pemandu memperlahankan kenderaan sebaik sahaja menghampiri kamera. Ini bagi membendung tabiat pemanduan tidak konsisten, di mana ada yang memperlahankan kenderaan hanya di kawasan kamera lalu memecut semula selepas itu.

Sistem ini juga dilengkapi teknologi ANPR (Automatic Number Plate Recognition) serta kemampuan video 360 darjah melalui kamera jenis Ekin Spotter. Ia direka untuk mengesan kelajuan sehingga 320 km/j, sekaligus meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan terhadap pemandu agresif.

Menurut laporan Kementerian Pengangkutan, sistem ini masih berada di peringkat percubaan dan sebarang keputusan untuk pelaksanaan penuh akan diumumkan selepas ujian selesai dan analisis data dilengkapkan. Dalam masa sama, pengguna lebuh raya dinasihatkan agar mematuhi had laju serta memastikan pemanduan kekal selamat dan berhemah.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dan memperkukuh sistem penguatkuasaan trafik di Malaysia. Sekiranya sistem ini berjaya, tidak mustahil ia akan diperluas ke lebih banyak laluan di seluruh negara.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Kerajaan akan memutuskan akan kedudukan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Atuomatik (AES) dalam…