Sistem kod QR di CIQ BSI, KSAB berjaya kurangkan tempoh menunggu sehingga 80 peratus

oleh Penyumbang Rencana|
foto Harian Metro
Tempoh menunggu pelepasan Imigresen di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) berjaya dikurangkan sehingga 80 peratus selepas penggunaan sistem Kod Respons Pantas (QR).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sistem kod QR yang melalui fasa bukti konsep (POC) sejak sebulan lalu mendapat sambutan memberangsangkan daripada penumpang bas dan penunggang motosikal tempatan.
LEXUS MREC Banner Campaign August 2024

“Alhamdulillah dari 1 Jun sampai sekarang kami akan lanjut (fasa POC) 31 Ogos ini, kita telah mendapat sambutan tinggi daripada pengguna.

Angka terakhir dimaklumkan Ketua Pengarah Imigresen yang mendaftar penggunaan semua aplikasi ini secara keseluruhan sudah 500,000 orang.

“Inisiatif sepanjang tempoh percubaan ini kita kesan secara data telah mengurangkan tempoh menunggu antara 70 hingga 80 peratus berbanding sebelum ni.

“Bila kita buat percubaan (fasa POC), kita ambil masa, misalnya dia naik bas dan sampai BSI, penumpang turun dari bas dan melalui pemeriksaan Imigresen.

“Sekarang dengan penggunaan sistem baharu kod QR ini, tempoh jadi beberapa saat sahaja. Turun tangga dan tunggu bas ambil serta sambung perjalanan, berbanding dulu dia tunggu sekian lama dan pernah waktu puncak sehingga 120 minit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan sambutan Hari Imigresen ke-102 bertemakan ‘Imigresen Perkasa di Persada Dunia’ di Dataran Pahlawan Negara, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Ruji Ubi dan Ketua Pengarah Imigresen (Datuk Ruslin Jusoh).

Untuk rekod, Jabatan Imigresen (JIM) sedang melaksanakan kaedah pemeriksaan Imigresen
menggunakan kod QR melibatkan POC oleh tiga syarikat melalui aplikasi MyTRIP, MyRENTAS dan MyBorderPass.

Sejak 1 Jun hingga 18 Julai lalu, seramai 197,901 penumpang bas menggunakan kod QR di BSI, manakala di KSAB membabitkan penggunaan kod QR oleh 311,130 penumpang bas dan motosikal.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, jumlah itu dijangka terus meningkat dan dapat membantu mengurangkan kesesakan di pintu masuk Malaysia-Singapura.

Jelasnya, penggunaan kod QR akan diperluas kepada semua pengembara termasuk bukan warganegara dan pemegang pas jangka panjang serta mod perjalanan menggunakan kenderaan persendirian di fasa seterusnya.

 

BuletinTV3

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Dimulakan untuk rakyat Malaysia dahulu kemudian baru diperluaskan kepada yang lain kalau ‘bukti…