Sistem AC Bugatti berkuasa 13 hp - cukup untuk sejukkan sebuah apartment!

oleh Mohamad Hanif|
Salah satu cabaran yang dihadapi bagi memastikan pemandu dan penumpang kekal selesa di dalam kereta pantas adalah membangunkan sebuah sistem pendingin hawa spesifik yang mampu beroperasi dengan cemerlang tidak kira apa jua kelajuan yang dipandu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ia mungkin satu kejuruteraan yang biasa pada kenderaan-kenderaan marhaen, namun bagi jentera pantas seperti Bugatti, lain pula ceritanya.

Menurut Julia Lemke, individu yang bertanggungjawab mereka bentuk sistem pendingin hawa Bugatti, antara cabaran utama adalah memastikan sistem pendingin hawa boleh beroperasi dengan pantas pada suhu yang diinginkan tanpa menghasilkan bunyi dan draf (aliran udara).

Ini adalah penting supaya penumpang di dalam kabin boleh duduk dengan selesa tanpa menyedari bahawa sistem pendingin hawa sebenarnya telah pun bekerja dalam diam.

 


Kereta-kereta pantas ini juga memerlukan bekalan udara yang mencukupi ketika sedang berada di dalam kelajuan yang tinggi, dan sistem pendingin hawa yang terdapat pada Bugatti adalah sangat berlainan berbanding sistem konvensional.

Hal ini berlaku bila mana jentera mencapai kelajuan 250 km/j, aliran udara akan dipaksa masuk menerusi bahagian bawah windscreen, dan daripada situ, sistem akan menukar kepada tekanan negatif menerusi flap ram udara tambahan dan blower bagi memastikan udara berterusan memasuki bahagian kabin.

 


Antara masalah utama yang dihadapi oleh jentera Bugatti adalah struktur cermin yang hampir rata dengan sudut kecenderungan cuma 21.5 darjah, di mana ia membenarkan lebih banyak cahaya memasuki ruang kabin berbanding kereta kompak yang memiliki sudut kecenderungan 30 darjah.

Oleh sebab itu, ruang kabin akan menjadi lebih cepat panas disebabkan radiasi solar yang memasuki ruang tersebut, dan keadaan ini menjadi semakin ketara sekiranya pemilik memasang opsyen bumbung kaca Sky View.

Untuk memastikan ruang kabin kekal sejuk, model-model Bugatti Chiron dan Divo dilengkapi dengan pemampat pendingin hawa yang lebih berkuasa, dengan keupayaan sehingga 13 kuasa kuda dan dua unit condenser - cukup untuk menyejukkan sebuah apartment spesifikasi Eropah berkeluasan 80 meter persegi!

Disebabkan komponen pemampat yang diposisikan pada enjin lebih terdedah kepada suhu yang tinggi, ia disejukkan dengan sebuah lagi sistem penyejukan berasingan.