Siri Kedua Supra A90 - BMW pandang remeh pada Toyota

oleh HEZERI SAMSURI|
Projek pembinaan BMW Z4 dan Toyota Supra bukanlah semudah yang disangkakan.

Untuk pengkritik, mereka terus menuduh ia adalah kerja "rebadge", di mana Toyota terus menampal lencana mereka di atas BMW Z4 itu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ia sangat bercanggah dengan apa yang diceritakan kepada Careta oleh Masayuki Kai, Penolong Ketua Jurutera untuk Program Supra A90.

"Projek ini bermula pada tahun 2012 dan selama dua tahun kami mempunyai pelbagai masalah," ujar Kai ketika sesi mengeteh kami bersama beliau di Madrid minggu lalu.

 

 

"Pandang remeh"

Masalah pertama yang mula dirasai oleh pasukan jurutera Jepun ialah pihak kejuruteraan BMW tidak memandang langsung akan produk Toyota.

"Mereka pernah dengar nama Toyota dan model-model kami tetapi mereka tidak pernah memandu pun kereta-kereta kami," terang Kai.

"Mereka merasakan mereka tidak perlu melakukan ujian penanda aras atau benchmarking dengan produk Toyota pun."

"Apa yang mereka mahukan dari projek ini ialah seperti Toyota duduk diam, biar mereka bina semuanya dan kemudian setelah siap, baru mereka serahkan kepada kami," sambung jurutera berusia 45 tahun itu.

 

 

Memang bunyinya angkuh tetapi itulah yang terjadi. Mungkin jurutera-jurutera BMW hanya teringat model-model Corolla dan Camry Toyota dan terlupa bahawa Toyota mempunyai kereta-kereta prestasi seperti GT86, Lexus LFA, RC-F, LC dan sebagainya.

Tidak mahu mengalah tetapi tidak mahu bersifat kurang ajar juga, Toyota menjemput pihak BMW untuk hadir ke sesi pemanduan di mana mereka menyediakan kereta-kereta prestasi di dalam keluarga Toyota untuk dicuba oleh BMW.

Akhirnya, setelah sesi pemanduan tamat, pihak BMW bersetuju bahawa mereka juga boleh belajar sesuatu dari Toyota.

 

 

"Tak faham bahasa"

Masalah kedua pula ialah komunikasi. 

Kedua-dua syarikat menggunakan dua bahasa yang berasingan - Jepun dan Jerman. 

Kerana itu, ketua jurutera Projek Supra, Tetsuya Tada (gambar atas) yang juga merupakan legenda di sebalik pembikinan GT86 memerlukan seorang pembantu seperti Masayuki Kai.

Kai dilahirkan di Jerman dan tinggal sana selama 10 tahun, menjadikan Jerman itu sebagai bahasa rasmi beliau. Kemudian beliau pulang ke Jepun untuk menghabiskan pendidikan beliau dan akhirnya beliau memegang Ijazah Sarjana dalam Kejuruteraan Mekanikal.

Kai mula bekerja dengan Toyota dan kemudian terbabit di dalam Toyota Gazoo Racing. Setelah diserapkan ke pasukan Supra A90, beliau membawa keluarganya pindah ke Munich dan mereka telah tinggal di sana sejak lima tahun yang lalu.

Kai menjadi perantara penting di antara kedua-dua pasukan itu.

 

 

"Bercerai?"

Setelah kedua masalah itu diatasi, Toyota dan BMW berbincang dan bersetuju mengenai beberapa perkara penting dalam projek Z4/Supra ini.

Antaranya ialah posisi pinggang penumpang (hip point), jarak antara roda (wheel base), lebar, kedudukan tangki bahan api, tempat A-pillar, pengikat enjin dan transmisi dan setelah semua itu dipastikan, Toyota dan BMW meneruskan haluan sendiri di dalam projek Z4/Supra itu.

Dan kerana itu walaupun Toyota banyak menggunakan komponen BMW di dalam Supra A90 ini, cara dan bagaimana kenderaan ini dihasilkan sangat berbeza menyebabkan ia tidak harus dipanggil sebuah projek rebadge.

 

 

Contoh terbaik ialah dari segi luaran, hanya tiga komponen sahaja yang dikongsi oleh kedua kenderaan tersebut:

  • Cermin sisi (wing mirror)
  • Pembuka pintu (door handle)
  • Bilah pengelap hujan (wiper blade)

Adakah Supra A90 ini masih terasa seperti sebuah Toyota?

Nantikan sambungan bahagian ini esok.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Pengarah tadbir urus dan perhubungan awam syarikat, Jason Zhang memberitahu Pos, model di bawah…
Model Terbaharu
BMW iX2 xDrive30 hadir dengan pelbagai elemen rekaan yang moden lagi sporty, memberikannya iras…
Berita Domestik
Dengan rangkaian kenderaan baharu, syarikat itu menyasarkan untuk meraikan minat peminat untuk…