Siri Jelajah FTRoadpedia di Bumi Kenyalang

oleh Mohamad Hanif|
Sejak pertama kali dianjurkan oleh Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) pada Ogos 2016, sudah empat kali siri jelajah FTRoadpedia telah dianjurkan, menyelusuri ratusan kilometer jalan-jalan persekutuan sebagai usaha KKR menggalakkan orang ramai kembali menggunakan rangkaian jalan persekutuan sebagai laluan kembara santai.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Hal ini kerana sejak Lebuh Raya Utara-Selatan E1 dan E2 dibuka pada tahun 1994, peranan jalan-jalan persekutuan sebagai laluan utama seakan telah dilupakan setelah semakin banyak lebuh raya ekspres dibuka.


Edisi kelima siri jelajah FTRoadpedia kali ini menyelusuri sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak FQA1 bagi meninjau perkembangan projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak: 

  • lebuh raya kembar capaian terhad (limited-access divided highway) empat lorong,
  • jarak keseluruhan 786 km 
  • lebih 100 jambatan 
  • 23 persimpangan bertingkat 
  • 3 hentian rehat dan rawat (R&R)
  • 6 hentian sebelah.

Selain itu, projek Lebuh Raya Pan Borneo turut melibatkan pembinaan jalan baharu dari Sematan ke Teluk Melano sepanjang 32 km yang kini sudah 80% siap.

Edisi jelajah FTRoadpedia Pan Borneo Sarawak ini diadakan selama 3 hari, bermula 29 September hingga 1 Oktober 2018.

 


Rombongan yang melibatkan wakil-wakil daripada KKR, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan Lebuhraya Borneo Utara selaku Rakan Penyampai Projek (PDP) bagi projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak turut disertai Menteri Kerja Raya, YB Baru Bian dan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Dato’ Sri Zohari Akob. Majlis pelepasan peserta rombongan disempurnakan oleh Baru Bian.

Sepanjang jelajah sejauh 925.5 km, para peserta rombongan melawat beberapa pakej pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo seperti di Teluk Melano, Sematan, Bau, Serian, Sri Aman, Jambatan Durin, Jambatan Tatau, Persimpangan Nyabau dan Beluru. Di samping itu, para peserta rombongan sempat singgah di SK Sungai Buloh, Selangau bagi menyaksikan majlis pecah tanah projek naik taraf sekolah berkenaan oleh kontraktor Musyati-Mudajaya sebagai projek tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Jelajah FTRoadpedia Pan Borneo Sarawak berakhir di Miri sebaik tiba di sana pada 1 Oktober 2018. Majlis penutup diadakan di Hotel Pullman Waterfront Miri dan disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, YB Baru Bian.
 


Trivia Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak FQA1

  • Tatkala rangkaian jalan raya di Semenanjung Malaysia mula dibangunkan semasa zaman penjajahan British, sejarah pengangkutan jalan raya di Sarawak hanya bermula pada tahun 1945 setelah Sarawak dijadikan Jajahan Mahkota British.
  • Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak mula dibangunkan pada tahun 1965 dengan nama Jalan Raya Pertama Sarawak (Sarawak First Trunk Road) dan seterusnya Lebuh Raya Trans Borneo dan kemudian Lebuh Raya Pan Borneo.
  • Jajaran terakhir dari Sibu ke Bintulu siap pada tahun 1985, tetapi keseluruhan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak hanya siap diaspal sepenuhnya sekitar tahun 1995.
  • Oleh kerana Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak merentasi Brunei, maka ia terpisah kepada 3 bahagian iaitu laluan FQA1 (Sematan-Sungai Tujoh), FQB1 (Kuala Lurah-Pandaruan) dan FQC1 (Mengkalap-Merapok)
  • Panjang keseluruhan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak ialah 1,077.1 km, menjadikannya jalan persekutuan terpanjang di Malaysia. Malah, jajaran pertamanya (FQA1) dari Sematan ke Sungai Tujoh sahaja sudah sepanjang 960.7 km, lebih panjang daripada mana-mana jalan raya di Malaysia
  • Perjalanan dari Miri ke Kota Kinabalu memerlukan pengguna jalan raya melepasi sembilan pos imigresen termasuklah di sempadan Sarawak-Sabah di Sindumin.
  • Tidak seperti jalan persekutuan di Semenanjung Malaysia yang menggunakan imbuhan awalan FT pada kod laluan, jalan persekutuan Sarawak pula menggunakan imbuhan awalan FQ, manakala jalan persekutuan Sabah pula menggunakan imbuhan awalan FS.
     


Penulis: Mohd. Hezery bin Hussin (Blog Jalan Raya Malaysia)

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Mereka yang merupakan sebahagian daripada 942 perserta program itu, menerima lesen pada satu maljis…
Informasi
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata inisiatif daripada syarikat tambang rendah itu…
Berita Domestik
“Hasil pemeriksaan KPDN, minyak diesel dengan anggaran sebanyak 430,000 liter yang bernilai RM924,…