Terkini, negara jiran iaitu Singapura sedang semakin hangat membincangkan isu pemandu berusia berikutan beberapa kemalangan yang melibatkan golongan tersebut.
Terdapat cadangan untuk memperketatkan syarat lesen dengan had umur maksimum dan ujian kesihatan berkala bagi pemandu berusia, khususnya untuk memastikan tahap penglihatan dan refleks yang mencukupi.
Seperti biasa, ada pihak menyokong langkah itu untuk meningkatkan keselamatan di jalan raya, dan ada juga yang berpendapat bahawa keupayaan memandu tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan umur.
Menurut laporan The Straits Times, pada bulan September sekurang-kurangnya dua pemandu warga emas terlibat dalam siasatan polis berikutan kemalangan berasingan.
Seorang daripada mereka, berusia 77 tahun, telah ditahan kerana kemalangan di Toa Payoh yang menyebabkan kematian seorang penunggang basikal berusia 83 tahun.
Dalam kes lain, seorang pemandu berusia 70 tahun telah melanggar bahagian belakang bas dua tingkat di perhentian bas Hillview.
Seperti di Malaysia, kemalangan melibatkan pemandu berusia tersebut sering mendapat perhatian di media sosial, di mana orang ramai berdebat tentang merit untuk mempunyai had umur memandu.
Di Singapura, had umur untuk pemandu teksi, kereta sewa dan kenderaan berat ialah 75 tahun, walaubagaimanapun tiada sekatan bagi mereka yang tidak memandu untuk bekerja.
Pemandu kenderaan berumur 65 tahun ke atas, bagaimanapun, mesti disahkan sihat untuk memandu oleh doktor berdaftar di Singapura setiap tiga tahun sekali untuk memperbaharui lesen mereka.
Semasa ujian perubatan, pemandu perlu melaporkan sejarah perubatan mereka kepada doktor, merangkumi pemeriksaan ketidakupayaan fizikal, gangguan psikiatri dan masalah pendengaran.
Menurut polis Singapura, jumlah kemalangan maut membabitkan pemandu berusia 65 tahun ke atas termasuk penunggang motosikal dan pemandu kenderaan berat meningkat daripada lapan dalam tempoh enam bulan pertama 2023 kepada 11 dalam tempoh yang sama pada 2024.
Terdapat juga peningkatan kira-kira 5 peratus dalam jumlah kemalangan membabitkan pemandu berumur 65 tahun ke atas yang mengakibatkan kecederaan, daripada 606 pada separuh pertama 2023 kepada 639 pada separuh pertama 2024.
Walaupun sukar untuk membuat kesimpulan daripada set kecil data tahun ke tahun, ahli ekonomi pengangkutan Singapura, Walter Theseira berkata peningkatan dalam bilangan kemalangan yang melibatkan pemandu warga emas boleh dijangka pada masa hadapan.
Berikutan itu, The Straits Times telah menemubual lima penduduk berusia yang masih memandu di Singapura, perbincangan tersebut mencerminkan keperluan untuk keseimbangan antara keselamatan dan kebebasan pemandu warga emas.
Bacaan penuh: The Straits Times