Tiga kelas lesen baharu ini Kelas 4P, 5P dan 4AP akan melengkapi lesen sedia ada (Kelas 4A, 4 dan 5) yang kini membenarkan pemanduan kedua-dua transmisi manual dan automatik. Langkah ini bertujuan memudahkan laluan mendapatkan lesen untuk pemandu, selari dengan perkembangan teknologi kenderaan berat moden yang semakin banyak menggunakan kotak gear automatik.
Berikut adalah pecahan kelas lesen automatik baharu:
-
Kelas 4P: Untuk memandu kenderaan Kelas 4 bertransmisi automatik dengan berat melebihi 2,500kg
-
Kelas 5P: Untuk memandu kenderaan Kelas 5 bertransmisi automatik dengan berat melebihi 7,250kg
-
Kelas 4AP: Untuk memandu bas awam bertransmisi automatik di bawah kategori Kelas 4A, khas untuk pengendali pengangkutan awam
Pelaksanaan akan bermula secara berperingkat mulai 1 September 2025, dengan pelajaran pertama untuk Kelas 4P ditawarkan secara jemputan di Singapore Safety Driving Centre (SSDC), Woodlands. Mereka yang telah berdaftar dan sedang menunggu giliran untuk latihan Kelas 4 akan dijemput untuk menyertai program baharu ini terlebih dahulu.
TP juga memaklumkan bahawa keutamaan akan diberikan kepada pelajar yang memerlukan lesen ini untuk tujuan pekerjaan, khususnya mereka yang diambil bekerja oleh syarikat yang telah memasang speed limiter pada lori syarikat. Langkah ini diambil bagi menggalakkan pemasangan awal speed limiter, selain meningkatkan tahap keselamatan jalan raya.
Bermula 1 Januari 2026, semua kenderaan berat yang didaftarkan sebelum 2018 dengan berat kasar maksimum antara 5,001kg hingga 12,000kg diwajibkan mempunyai speed limiter untuk membolehkan ia terus digunakan di Singapura.
Peraturan ini akan diperluaskan kepada semua jenis lori, termasuk model lebih baharu dan ringan (antara 3,501kg hingga 5,000kg), menjelang 1 Julai 2027. Had kelajuan maksimum akan ditetapkan kepada 60km/j.
Walaupun terdapat kira-kira 17,000 lori yang tertakluk kepada peraturan baharu ini, hanya 50 unit telah memasang speed limiter setakat akhir 2024, menurut Menteri Ehwal Dalam Negeri K. Shanmugam dalam satu jawapan Parlimen pada Januari lalu.
Kelas 5P pula akan menyusul selepas pelaksanaan Kelas 4P, dengan permohonan dibuka kepada orang awam juga bermula 1 September. Bagaimanapun, tarikh sebenar pelajaran pertama untuk Kelas 5P belum diumumkan. Pemohon bagi Kelas 5P perlu mempunyai lesen Kelas 4 atau 4P yang sah terlebih dahulu.
Sementara itu, bagi mereka yang ingin memohon Kelas 4P, syaratnya termasuk memiliki lesen Kelas 3, 3A, 3C atau 3CA, serta telah lulus ujian penglihatan, teori dan amali.
Yuran latihan bagi lesen automatik akan sama dengan lesen manual bagi kelas sama. Sebagai contoh, di SSDC, satu sesi latihan amali Kelas 4 dikenakan bayaran sekitar S$164.59 (luar waktu puncak) (RM 576.00) dan S$175.49 (waktu puncak) (RM 615.00).
Setakat ini, SSDC merupakan satu-satunya pusat latihan yang menawarkan kursus bagi kelas lesen baharu ini memandangkan ia memiliki kemudahan khusus untuk latihan dan ujian kenderaan berat.