Sepanjang tahun 2024, Lotus Tech mencatatkan jumlah penghantaran sebanyak 12,134 unit, meningkat 74 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Lonjakan ini disokong oleh lebih 200 bilik pameran di seluruh dunia, walaupun berdepan ketidaktentuan perdagangan global dan kelembapan ekonomi.
Pasaran Eropah menyumbang hampir 40 peratus daripada jumlah penghantaran, menjadikannya pasaran terbesar global bagi Lotus tahun lalu.
Pertumbuhan ini dipacu oleh pelancaran model Eletre dan permulaan penghantaran Emeya pada pertengahan 2024, dengan kadar pertumbuhan tahunan mencecah 179 peratus.
China kekal sebagai pasaran kedua terbesar dengan 25 peratus sumbangan, walaupun berdepan persaingan pasaran yang sengit dan kelembapan ekonomi.
Sementara itu, pasaran Amerika Utara menyumbang 21 peratus hasil daripada penghantaran model sport Emira ke pelanggan di A.S., yang dipasang di Hethel, UK.
Pasaran lain merangkumi 15 peratus daripada jumlah penghantaran dengan kadar pertumbuhan tahunan hampir 90 peratus.
Dalam suku keempat, penghantaran Emeya dimulakan di Malaysia, Thailand, Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Filipina.
Meskipun mencatatkan lonjakan penghantaran, Lotus Tech masih mencatatkan kerugian malah lebih ketara berbanding tahun 2023.
Ini dapat dilihat menerusi kejatuhan margin kasar daripada 15 peratus kepada hanya tiga peratus, selain lonjakan kos hasil sebanyak 55 peratus tahun ke tahun.
Penurunan ini didorong oleh impak tarif serta tindakan proaktif syarikat untuk mengurangkan inventori sebagai tindak balas kepada ketidaktentuan perdagangan global.
Satu lagi berita baik selain jualan, Lotus pada Januari 2025 berjaya mendapatkan semula hak eksklusif ke atas logo bulat, cap dagang "LOTUS" dan aksara Cina "莲花" di China.
Pecahan Penghantaran Mengikut Model
- SUV gaya hidup dan sedan: 6,862 unit (peningkatan 57%)
- Kereta sport: 5,272 unit (peningkatan 102%
Pecahan Penghantaran Mengikut Wilayah
| Wilayah | 2024 (unit) | 2024 (%) | 2023 (unit) | 2023 (%) |
|---|---|---|---|---|
| Eropah | 4,743 | 39% | 1,703 | 24% |
| China | 3,018 | 25% | 3,825 | 55% |
| Amerika Utara | 2,578 | 21% | 501 | 7% |
| Lain-lain | 1,795 | 15% | 941 | 14% |
| Jumlah | 12,134 | 100% | 6,970 | 100% |
Sorotan Kewangan Sepanjang Tahun 2024
- Jumlah hasil: USD 924 juta (RM 3,969.11 juta) [+36% YoY]
- Jualan produk: USD 891 juta (RM 3,828.69 juta) [+35% YoY]
- Hasil perkhidmatan: USD 33 juta (RM 141.73 juta) [+77% YoY]
- Margin kasar: 3% (2023: 15%)
- Margin kasar jualan produk: 3% (2023: 14%)
- Margin kasar perkhidmatan: 17% (2023: 36%)
- Kerugian operasi: USD 786 juta (RM 3,374.75 juta) [+7% YoY]
- Kerugian bersih: USD 1,107 juta (RM 4,753.91 juta) [+48% YoY]
- Kerugian bersih diselaras (bukan-GAAP): USD 1,075 juta (RM 4,616.34 juta) [+43% YoY]
- EBITDA diselaras (bukan-GAAP): kerugian USD 961 juta (RM 4,128.52 juta) [+39% YoY]
Nota: EBITDA (Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan) GAAP (Prinsip Perakaunan Diterima Umum)
Ringkasan Keputusan Kewangan (Tidak Diaudit)
| Penunjuk | 2024 (USD juta) | 2024 (RM juta) | 2023 (USD juta) | 2023 (RM juta) | % Perubahan YoY |
|---|---|---|---|---|---|
| Hasil | 924 | 3,969.11 | 679 | 2,915.35 | +36% |
| Kos hasil | 895 | 3,842.21 | 577 | 2,476.15 | +55% |
| Untung kasar | 29 | 124.90 | 102 | 438.70 | -71% |
| Margin kasar | 3% | - | 15% | - | - |
| Kerugian operasi | (786) | (3,374.75) | (736) | (3,165.49) | +7% |
| Kerugian bersih | (1,107) | (4,753.91) | (750) | (3,225.68) | +48% |
| Kerugian bersih diselaras | (1,075) | (4,616.34) | (750) | (3,225.68) | +43% |
| EBITDA diselaras | (961) | (4,128.52) | (693) | (2,981.44) | +39% |
Perkembangan Terkini
- Kemas kini penghantaran: Sebanyak 1,282 unit dihantar dalam tiga bulan pertama 2025.
- Kembalinya jenama Lotus di China: Pada Januari 2025, Lotus berjaya mendapatkan semula hak eksklusif ke atas logo bulat, cap dagang "LOTUS" dan aksara Cina "莲花" di China, memastikan konsistensi cap dagang global.
- Penyegaran model: Pada Februari, Lotus memperbaharui model Eletre dan Emeya dengan konfigurasi dinaik taraf dan harga lebih kompetitif.
Penulis: Muhammad Md Tajudin