"Sidang kemuncak itu bakal menghimpunkan ketua negara, ketua kerajaan dan delegasi berprofil tinggi dari seluruh rantau serta dunia, sekali gus memerlukan penyelarasan rapi dan tindakan proaktif bagi menjamin kelancaran pergerakan serta keselamatan semua pihak terbabit.
"Sebagai agensi penyelia operasi lebuh raya negara, LLM menjalin kerjasama strategik dengan PDRM, agensi penguatkuasaan lain dan syarikat konsesi lebuh raya bagi melaksanakan pelan pengurusan trafik komprehensif sepanjang tempoh persidangan itu," kata LLM dalam kenyataan pada Rabu.
Selain itu, LLM turut memastikan semua sistem sokongan trafik di lebuh raya seperti papan tanda elektronik (VMS), kamera litar tertutup (CCTV) dan Pusat Pengurusan Trafik (TMC) berfungsi pada tahap optimum bagi menyokong pemantauan serta kawalan trafik secara berkesan.
"Bagi menjamin kelancaran perjalanan antara lapangan terbang dan pusat bandar, kerja penyelenggaraan atau pembinaan membabitkan penutupan lorong di lebuh raya utama akan dihentikan sementara waktu kecuali bagi kerja kes kecemasan saja bermula esok hingga Rabu depan," kata kenyataan itu.
LLM menasihati semua pengguna lebuh raya khususnya di sekitar Lembah Klang dan kawasan berhampiran KLCC memberi kerjasama dengan merancang perjalanan lebih awal serta menyemak status trafik semasa melalui saluran rasmi.
Pengguna juga dinasihatkan mematuhi semua arahan dan isyarat dikeluarkan pihak polis serta pasukan peronda lebuh raya, selain peka terhadap sebarang pengumuman rasmi berhubung penutupan atau lencongan sementara di laluan utama sekitar ibu negara bermula esok hingga Selasa ini.
Untuk maklumat lanjut atau laporan trafik semasa, orang ramai boleh melayari media sosial rasmi LLM dan syarikat konsesi lebuh raya, atau menghubungi TMC melalui talian bebas tol 1-800-88-7752.