Siapa jalan dulu: kau ke aku?

oleh Mohamad Hanif|
Sekiranya anda sudah terbiasa memandu di jalan raya, dan kami tahu anda sangat mematuhi undang-undang jalan raya, anda akan dapati beberapa situasi di mana hak keutamaan jalan raya tidak dipatuhi oleh sesetengah pihak.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Walaupun sudah diajar ketika kelas latihan memandu atau kelas amali memandu, ia sering kali diabaikan oleh kerana dorongan perasaan ingin cepat sampai ke destinasi ataupun pemandu itu memang mempunyai cita-cita untuk menunjukkan kehebatan kepada orang lain, sehingga menimbulkan aksi pelanggaran yang tidak dingini. 

Seperti mana di dalam negara mempunyai undang-undang tersendiri, maka di jalan raya juga terdapat undang-undang tersendiri yang dipanggil hak keutamaan di atas jalan raya. 

Hak keutamaan ini mungkin berbeza mengikut sesetengah kawasan, akan tetapi ia bertujuan untuk mendidik pemandu supaya lebih menekankan aspek keselamatan dan juga menerapkan penggunaan akal yang waras semasa di atas jalan raya.

 

1. Persimpangan tidak bertanda

Sekiranya anda menghampiri simpang yang tiada papan tanda BERHENTI/BERI LALUAN, ini yang anda perlu buat.

  • Perlahankan kenderaan
  • Beri laluan pada kenderaan yang sudah masuk ke simpang itu
  • Jika anda dan kenderaan lain tiba pada masa yang sama, beri laluan pada kenderaan yang datang dari sebelah KANAN

 

2. Persimpangan bertanda BERHENTI/BERI LALUAN

kereta A perlu memberikan keutamaan laluan kepada kereta B terlebih dahulu.

Di persimpangan ini, pemandu seharusnya:

  • berhentikan kenderaan sehingga tiada sebarang lintasan trafik di hadapan atau dari arah kanan. 
  • berikan laluan kepada kenderaan yang hadir dari arah kanan atau hadapan. 

 

3. Simpang tiga/simpang T

kereta A perlu memberikan keutamaan jalan kepada kereta B


Di persimpangan tiga, pemandu perlu

  • Berhenti di persimpangan terlebih dahulu
  • Pastikan kenderaan daripada laluan utama atau daripada arah kanan selesai melintasi persimpangan
  • keluar daripada simpang dengan selamat. 

 


Sekiranya anda daripada laluan utama dan ingin memasuki simpang, sila pastikan

  • tiada sebarang lintasan kenderaan mahupun pejalan kaki sebelum berbuat demikian. 
  • berikan masa kepada pejalan kaki untuk menyeberang jalan sebelum memasuki simpang tersebut. 

 

kereta B perlu memberikan laluan kepada kereta A terlebih dahulu. 

Sekiranya anda terserempak dengan simpang yang mempunyai rekaan seperti gambar di atas, sila pastikan laluan utama yang membentuk jalan tersebut dan berikan laluan kepada mereka yang datang daripada arah hadapan. 

 

4. Bulatan


Antara rekaan persimpangan jalan yang paling digemari warga Shah Alam yang terkenal dengan koleksi bulatan paling banyak di dalam Malaysia. 

Ketika menghampiri bulatan, ada beberapa perkara yang perlu pemandu ambil perhatian oleh kerana sebarang aksi yang tidak disengajakan atau disengajakan memungkinkan pelanggaran di dalam kawasan bulatan itu sendiri.

Walau apa jua laluan yang anda bakal ambil, penggunaan lampu indikasi arah (signal/indicator) seharusnya digunakan supaya pengguna lain sedar arah mana yang anda bakal keluar. 

 


Memasuki ruang bulatan

  • sila berikan keutamaan jalan kepada mereka yang berada dalam bulatan terlebih dahulu
  • berikan isyarat membelok yang bersesuaian (akan diterangkan pada bahagian bawah)

Sebagai pemandu yang berakal, anda tidak seharusnya berhenti sambil separuh daripada kereta anda bersedia untuk dibaham kenderaan dari arah kanan. 

Menukar arah/laluan

Untuk menukar laluan, peraturan sedia ada wajar diaplikasikan dengan memberikan lampu isyarat menukar laluan dan berikan keutamaan jalan kepada mereka yang berhak. 


Masuk arah pukul 9

Pemandu perlu

  • kekal di laluan kiri
  • memberikan isyarat kiri
  • perhati kenderaan yang mungkin melintas daripada arah kanan. 

Masuk arah pukul 12

Pemandu boleh

  • memilih sama ada kekal di laluan kiri atau laluan kanan,
  • perhatikan kenderaan daripada arah kanan. 
  • Sebelum keluar daripada bulatan, pastikan anda memberikan lampu isyarat kiri untuk memberikan peringatan kepada pemandu dari arah belakang.

Masuk arah pukul 3

Pemandu perlu

  • kekal di laluan kanan,
  • berikan lampu isyarat membelok sebelah kanan
  • perhatikan kenderaan daripada arah kanan sebelum memasuki ruang bulatan. 
  • Apabila menghampiri susur keluar pukul 3, berikan isyarat kiri dan keluar daripada kawasan bulatan dengan selamat. 

Pusingan U/arah pukul 6

Sama seperti peraturan arah pukul 3, pemandu seharusnya

  • kekal di laluan kanan 
  • berikan isyarat sebelah kanan
  • perhatikan kenderaan daripada arah kanan, dan masuk kawasan bulatan
  • Berikan lampu isyarat arah kiri sebelum keluar daripada bulatan dengan selamat. 

Bagi keempat-empat situasi diatas, menggunakan lampu indikasi arah kiri adalah bertujuan memberikan peringatan kepada pengguna dari arah belakang dan juga pengguna yang bakal keluar daripada persimpangan supaya bersedia.

 

5. Menyusur ke arah jalan utama


Merujuk kepada gambar di atas, apabila jalan raya yang mempunyai dua laluan bertembung menjadi laluan sehala, kereta yang berada di sebelah kiri (A) perlu bersedia memberikan isyarat ke kanan dan berikan laluan kepada kereta daripada arah belakang/kanan (B). 

Kereta A perlu memastikan kereta B melepasinya dengan selamat, dan tiada sebarang kenderaan daripada arah belakang sebelum memasuki laluan utama. 

Peraturan ini juga terpakai ketika anda sedang memasuki laluan utama lebuhraya daripada susur masuk plaza tol. 

Sumber gambar: Google Streetview, RMS dan Road Safety Advisory Council