Shoei atau Arai?

oleh HEZERI SAMSURI|
Untuk peminat tegar jentera dua roda, jenama Shoei dan Arai sudah sinonim dengan teknologi dan kualiti helmet terbaik dunia.

Kedua-dua jenama Jepun itu memang dikenali di seluruh dunia sebagai pelopor dalam industri helmet motosikal.

Untuk mengetahui perbezaan antara kedua-duanya, mari kita pelajari sedikit sejarah dan latar belakang dua jenama itu.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02
arai kilang

 

Sejarah Arai

Dibuka pada tahun 1937 oleh Hirotake Arai, Arai Helmets ini sebenarnya bermula dari sebuah kilang pembuat topi.

Ia bertukar kepada pembuat topi keselamatan untuk industri pembinaan bangunan pada penghujung 1940-an.

Selepas Perang Dunia Kedua, negara Jepun mengamalkan dasar ekonomi tertutup dan amat sukar untuk mengimport masuk helmet motosikal.

Memandangkan sangat sukar untuk mencari helmet motosikal, Hirotake mengambil keputusan untuk membuat helmetnya sendiri dan pada tahun 1952, Arai mula mewujudkan helmet motosikal di dalam barisan produk mereka.

 

 

Arai pada masa itu menggunakan bahan Fiber Reinforced Plastic (FRP) untuk kelongsong (shell) helmet dan dalam tahun 1958, ia menukarkan gabus untuk bahagian dalam itu kepada bahan Expanded Polystyrene (EPS). Arai juga adalah antara yang pertama yang menggunakan bahan EPS pelbagai ketumpatan di dalam satu kelongsong (gambar di atas). 

Arai juga memperkenalkan helmet full-face pertama Jepun dalam bulan Mac, 1967.

Dalam temuramah bersama majalah Cycle World dalam tahun 2015, Presiden dan CEO Arai, Michio Arai (anak lelaki kepada Hirotake Arai), Michio berkata ayahnya tidak tahu banyak berkaitan bahan kimia.

"Ayah membaca satu artikel berkaitan fibreglass dan berkata ini mungkin bahan yang bagus. Dia berjumpa dengan seorang professor di sebuah kolej dan belajar bagaimana hendak membuat fibreglass," terangnya.
 

 

Sejarah Shoei

Eitaro Kamata membuka syarikat Kamata Polyester Company dalam tahun 1954 dan dalam tahun 1959, ia mula menghasilkan helmet motosikal.

Tidak seperti Arai yang menghasilkan helmet motosikal kerana ia sendiri hendak menggunakannya, Kamata merekabentuk helmet Shoei dengan fokus pada perlumbaan motosikal.

Dalam tahun 1965, Shoei menjadi helmet perlumbaan rasmi untuk Honda.

 

 

Dari awal tahun 1970-an, fiberglass menjadi bahan terpilih untuk kelongsong helmet. Namun begitu, dalam tahun 1976, Shoei mula memperkenalkan helmet motosikal pertama yang menggunakan carbon-fiber dan kevlar.

Helmet Shoei GR-Z itu (gambar di atas) menjadi pemangkin pada revolusi teknologi helmet motosikal dan masih menjadi kejayaan Shoei yang dibanggakan.

Shoei juga adalah jenama helmet motosikal yang pertama di dunia dengan sistem aliran udara dan sistem cermin tanpa penutup di sisi untuk helmet full-face.

 

 

Perbezaan antara mereka

Seperti yang dikatakan tadi, Shoei menggunakan visor luar tanpa penutup di sisi (gambar di atas). Ia menjadikan helmet nampak lebih kemas dan aerodinamik.

Namun begitu, Arai tetap ,menggunakan penutup sisi untuk sistem cermin bagi helmet full-face mereka (gambar di atas).

Alasan Arai, sistem tanpa penutup itu boleh menggugat keselamatan dan integriti helmet mereka.

Arai juga masih tidak lagi mahu menggunakan visor dalaman - dan ia adalah kemungkinan satu-satunya jenama helmet yang tidak mahu berbuat demikian.

Alasan Arai, untuk memuatkan visor dalaman, satu ruang kosong perlu diadakan pada bahagian atas kening helmet itu dan busa EPS di kawasan itu perlu dinipiskan.

Pada pendapat Arai, itu menggugatkan keselamatan helmet tersebut.

Ujian persendirian yang dilakukan oleh Arai juga mendapati kehilangan kadar keselamatan kerana mahu memasang visor dalaman tidak berbaloi dengan kadar keselesaan yang didapati.

 

 

Untuk menggantikan sistem visor dalaman, Arai menghasilkan sistem Pro-Shade di mana visor itu diletakkan di luar (gambar di atas).

Walaupun Arai bunyinya seperti sedikit tradisional atau old-school, namun Arai masih menjadi peneraju di dalam beberapa teknologi keselamatan helmet motosikal.

Arai ialah pencipta Emergency Quick Release Cheek Pads atau alas pipi yang boleh dibuka dengan segera ketika kecemasan (EQRS).

Arai juga yang pertama menggunakan pelapik dalaman EPS pelbagai-ketumpatan (multi-density EPS liners).

 

 

Sehingga ke hari ini, helmet-helmet Arai masih dibuat dari tangan dari proses awal sehingga siap. Setiap helmet Arai diperiksa tidak kurang dari lima kali untuk dipastikan kualitinya sebelum ia dimasukkan ke dalam kotak dan meninggalkan kilang.

Shoei pula adalah lebih ke arah teknologi dan sentiasa berinovasi. Ia menggabungkan teknologi terkini seperti laser dan ciri-ciri tradisional seperti melengkapkan kemasan menggunakan tangan.

Antara bahan yang digunakan oleh Shoei untuk kelongsong helmet ialah AIM+, di mana ia menjadikan helmet lebih ringan, lebih kuat dan juga elastik. 

 

 

Kelongsong helmet yang elastik mampu menyebarkan kadar hentakan ke seluruh helmet dan lapisan dalaman EPS, dan bukannya kepada kepala pengguna.

Shoei juga menitik-beratkan penggunaan aerodinamik dan helmet-helmet mereka akan menjalani ujian terowong angin untuk mencari lokasi terbaik liang udara tanpa mengganggu kestabilan helmet.

Setiap tahun, Shoei memusnahkan lebih dari 3,000 unit helmet dalam ujian-ujian keselamatan, khusus untuk memastikan helmet-helmet mereka memberikan perlindungan yang terbaik.

 

 

Jadi mana yang lebih bagus?

Pasaran helmet di Malaysia dipenuhi dengan pengimport-pengimport bebas, walaupun wakil pengedar rasmi untuk Shoei dan Arai ada.

Ini adalah kerana pasaran helmet sudah lama dibiarkan tanpa pengedar rasmi. Walaupun Singapura ialah sebuah pasaran yang jauh lebih kecil, helmet-helmet berjenama lebih mudah di dapati di sana dalam pelbagai saiz kerana mereka menjadi pembekal utama kepada pengimport bebas di Malaysia.

Pasaran yang terbuka di Malaysia ini juga menyebabkan tidak ada kawalan harga. Kita boleh lihat reseller menjual helmet-helmet "rare" dengan harga berlipat kali-ganda dari di Jepun sendiri kerana seperti pasaran motosikal, sifat "rare" itu boleh diwujudkan sendiri di kalangan peminatnya.

Tidak ada salahnya untuk anda membeli Arai atau membeli Shoei, walaupun penulis sentiasa menerima komen bahawa Arai lebih selesa dipakai sementara pengguna Shoei gemarkan rekabentuk dan teknologi baharu yang ada pada produk jenama itu.

Yang pasti salah ialah membeli helmet jenama Arai atau Shoei yang palsu kerana dalam kita mahu berlagak dengan jenama-jenama itu, kita tidak memikirkan keselamatan diri kita sendiri. 

Anda juga disarankan agar tidak membeli helmet selagi anda tidak mengujinya kerana lain helmet, lain saiz dan "fitment" nya, walaupun dari jenama yang sama.

Tunggu artikel seterusnya berkaitan bagaimana hendak mencari saiz helmet motosikal yang sesuai untuk kepala kita. 

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Topi keledar tersebut dikhabarkan bakal dilelong di Bonhams Cars Miami.     Sejarah disebalik…
Berita Global
Menurut laporan minggu lalu, pengguna motosikal hanya dibenarkan menggunakan topi keledar jenis…
Berita Domestik
Ini merupakan satu berita baik di mana anda kini boleh mendapatkan topi keledar Gracshaw edisi…