SHIFT 2025 Kukuhkan Kerjasama Serantau ASEAN Dalam Inovasi Keselamatan Jalan Raya

oleh Qalif Latif|
Persidangan Antarabangsa Safety and Holistic Innovation for Future Vehicles (SHIFT 2025) yang berlangsung di Bangi Resort Hotel berjaya menonjolkan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan serantau dalam penyelidikan keselamatan jalan raya dan inovasi kenderaan masa hadapan. Acara selama tiga hari ini dianjurkan oleh Malaysian Institute of Road Safety Research (MIROS) bersama ASEAN New Car Assessment Program (ASEAN NCAP) dengan tema “Local Landscape, Global Standard.”

Hasbi Rasmi Pembukaan, Umum Fokus Nasional ke Arah Mobiliti Selamat dan Mampan

Majlis perasmian SHIFT 2025 telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa sektor mobiliti kini sedang melalui perubahan paling besar dalam tempoh satu abad, digerakkan oleh teknologi elektrifikasi, automasi, kecerdasan buatan (AI) dan kesalinghubungan data.

Hasbi

Walaupun dunia berlumba ke arah mobiliti baharu yang lebih bersih dan pintar, keselamatan tetap menjadi asas kepada kepercayaan awam. Inovasi hanya membawa makna sebenar jika ia berlandaskan keselamatan,” katanya.

Beliau turut menekankan komitmen kerajaan dalam memastikan keselamatan terus menjadi keutamaan, selaras dengan matlamat Pelan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan United Nations Decade of Action for Road Safety (2021–2030) untuk mengurangkan kadar kematian jalan raya sebanyak 50% menjelang 2030.

Antara inisiatif yang diumumkan di bawah Belanjawan 2026 termasuk:

  • RM13 bilion bagi menaik taraf dan melebarkan jalan persekutuan serta negeri;

  • RM2.5 bilion untuk penyelenggaraan, penurapan semula dan pencahayaan jalan;

  • Insentif pelupusan kenderaan lama sehingga RM4,000; dan

  • Elaun Modal Dipercepat bagi Speed Limiting Devices (SLD) untuk kenderaan berat komersial.

MIROS Tandatangani MoU Dengan UiTM dan CATARC

Persidangan ini turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MIROS dengan dua rakan strategik – Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan China Automotive Technology and Research Center (CATARC).

Kerjasama dengan UiTM memberi tumpuan kepada pembangunan kepakaran dan inovasi dalam keselamatan kenderaan, manakala perkongsian dengan CATARC mengukuhkan China–ASEAN Vehicle Technology Partnership dalam harmonisasi piawaian keselamatan kenderaan dan penyelidikan bersama.

Dua Inovasi Besar Diperkenalkan di SHIFT 2025

  1. ASEAN Motorcycle Target (AMT): Perlindungan Penunggang Motosikal
    AMT merupakan alat ujian berketepatan tinggi yang meniru dinamik skuter pada kelajuan sehingga 60 km/j. Ia menjadi asas kepada ASEAN NCAP Autonomous Emergency Braking (AEB) Car-to-Motorcyclist Test Protocol version 1.0 bagi mengurangkan kadar perlanggaran motosikal di rantau ini. MIROS menjelaskan bahawa ujian ini membantu menyelaraskan prosedur ASEAN dengan piawaian antarabangsa tanpa mengabaikan realiti lalu lintas tempatan.

  2. ASEAN Child Presence Detection (CPD): Perlindungan Kanak-Kanak Dalam Kenderaan
    Hasil kolaborasi MIROS, UTM, ASEAN NCAP, CAERI, dan ACTS Smart Solutions, model kiDS CPD-DS3mensimulasikan tingkah laku fisiologi bayi berusia 12 bulan dengan mekanisme pernafasan boleh laras, kepala serta anggota boleh digerakkan, dan permukaan bersuhu terkawal. Model ini menyokong usaha ASEAN NCAP mencegah insiden heatstroke dan meningkatkan keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan.

Penekanan Terhadap Penyelidikan Berasaskan Bukti

Pengarah MIROS, Prof. Madya Ts. Dr. Siti Zaharah Ishak dalam ucapan aluannya menekankan bahawa setiap inovasi mobiliti mesti berpaksikan matlamat untuk menyelamatkan nyawa. Beliau berkata, “Road safety must never be compromised; every innovation and technological advancement should be built upon evidence, data, and our shared responsibility to protect lives on the road.

Shift25

SHIFT 2025 turut menghimpunkan pakar keselamatan antarabangsa termasuk Seigo Watanabe (JAMA, Jepun), Wang Guojie (CAERI, China) dan Yang Jialin (CATARC, China) yang berkongsi perspektif mengenai teknologi keselamatan kenderaan dan penyelidikan impak kemalangan terkini.

Lebih 50 kertas penyelidikan dibentangkan meliputi analisis kemalangan jalan raya ASEAN, Advanced Driver Assistance Systems (ADAS), tingkah laku pemandu serta aplikasi teknologi berasaskan data.

MIROS Perkukuh Aspirasi ASEAN NCAP

Melalui kolaborasi berterusan, MIROS dan ASEAN NCAP berjaya menjadikan teknologi keselamatan seperti airbagElectronic Stability Control (ESC) dan Autonomous Emergency Braking (AEB) sebagai ciri standard pada kenderaan di rantau ini. Ini menunjukkan peningkatan besar dalam tahap keselamatan asas yang kini setanding dengan piawaian global.

SHIFT 2025 berfungsi sebagai platform strategik untuk memacu transformasi keselamatan kenderaan di rantau ASEAN melalui penyelidikan, inovasi dan kolaborasi pelbagai pihak. Hasil dapatan dan perbincangan daripada persidangan ini akan membentuk hala tuju masa depan ASEAN NCAP, ke arah sistem mobiliti yang lebih selamat, pintar dan mampan.

Sumber: Malaysian Institute of Road Safety Research (MIROS)
www.miros.gov.my


 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Microsleep berlaku apabila kita memandu dalam keadaan tanpa sedar untuk seketika. "Kadang-kadang…
Informasi
Menurutnya, terdapat situasi sesetengah lori tidak mempunyai laluan alternatif disebabkan kekangan…
Berita Domestik
Majlis penyerahan berlangsung bersempena Road Safety Congress (RSC) 2025 dan Transport Expo Asia (…