Shell Recharge mula beroperasi di Tangkak - tawar pengecasan pantas DC 180 kW

oleh Mohamad Hanif|
Jika anda masih ingat, tahun lepas Porsche Asia Pacific dengan kerjasama Shell telah mengumumkan kerjasama untuk membangunkan jaringan pengecasan berprestasi tinggi merentas sempadan (HPC) yang pertama di Asia Tenggara.

Jaringan tersebut melibatkan 12 pengecas pantas di enam buah stesen minyak Shell di sepanjang laluan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Operasi stesen pengecasan pantas Shell Recharge kini tersedia di dua buah lokasi permulaan di Shell Tangkak Lay-by (Arah Selatan) dan Shell R&R Pagoh (Arah Selatan), diikuti dengan empat lokasi yang akan dibuka kelak seperti:

  • Shell R&R Seremban (Arah Selatan)
  • Shell R&R Seremban (Arah Utara)
  • Shell RTC Simpang Pulai (Arah Utara)
  • Shell R&R Tapah (Arah Selatan)

Sementara lokasi lain bakal tersedia menjelang separuh pertama tahun 2022.

Pihak Shell Recharge HPC menyediakan pengecas arus terus (DC) 180 kW di mana pemilik boleh mengecas bateri EV masing-masing dari 0-80 peratus dalam tempoh 30 minit sahaja, bergantung kepada model dan kapasiti EV.

Terdapat tiga pelan yang ditawarkan kepada pengguna, iaitu Platinum Member yang dikhususkan untuk pembeli Porsche Taycan, diikuti Gold Member dengan tempoh langganan satu tahun serta Standard yang menekankan pembayaran berasaskan penggunaan.

Butiran lanjut berhubung penawaran setiap pelan boleh dirujuk pada gambar rajah di bawah:

 


Khas untuk pemilik Porsche Taycan, mereka akan diberikan keahlian Platinum Member secara percuma untuk tempoh tiga tahun, dengan kadar yang dikenakan untuk 12 jam pertama adalah RM10 untuk setiap lima minit bagi 25 minit pertama, diikuti dengan RM5 untuk setiap lima minit berikut (tidak termasuk yuran pengesahan RM4).

Tambah nilai kuota pula dikenakan sebanyak RM60/jam, tidak termasuk dengan kadar standard pengecasan yang dikenakan.

Untuk pemilik EV biasa, terdapat pelan Gold Member untuk tempoh setahun dengan kos langganan berjumlah RM835.

Di bawah pelan ini, kadar pengecasan yang dikenakan untuk 10 jam pertama adalah RM12 untuk setiap lima minit bagi 25 minit pertama, diikuti RM5 untuk setiap lima minit berikutnya (tidak termasuk yuran pengesahan RM4), sementara tambah kuota pula dikenakan sebanyak RM80/jam.

Untuk penggunaan biasa yang tidak melibatkan langganan, kadar standard dikenakan adalah RM20 untuk setiap lima minit bagi 25 minit pertama, diikuti RM20 untuk lima minit berikutnya, tidak termasuk yuran pengesahan RM4.

Shell juga turut menawarkan beberapa manfaat untuk pengguna Shell Recharge, seperti contoh pulangan tunai 10 peratus, ciri tempahan slot pengecasan sehingga satu jam menerusi aplikasi ParkEasy serta pembelian makanan deli2go bernilai RM1 untuk setiap pembelian Costa Coffee.