Shell Recharge catat rekod - lancar hab pengecasan EV tertinggi di Genting Highlands

oleh Firdaus Razani|
gambar dari Amanz
Shell Recharge baru-baru ini melancarkan hab pengecasan kenderaan elektrik (EV) di titik tertinggi Resorts World Genting (RWG) dengan pengecasan berprestasi tinggi (HPC) berkuasa 360 kilowatt (kW).

Hab pengecasan itu terdiri daripada 10 ruang pengecasan, dengan empat daripada ruang titik pengecasan itu setinggi 360kW dan enam ruang pusat pengecasan arus ulang alik (AC) setinggi 22kW.

Pelancaran hab pengecasan ini menandakan kerjasama strategik Shell Recharge dengan Porsche Malaysia dan Genting Malaysia Bhd dalam menunjukkan komitmen berterusan untuk menjadi pemudah cara utama bagi penyambungan e-mobiliti di negara ini.

Pengurus Besar Shell Mobility Malaysia, Seow Lee Ming, berkata syarikat akan mengembangkan hab pengecasan berprestasi tinggi di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur dalam masa terdekat.

"Hab pengecasan itu akan memberi kemudahan kepada pemandu EV terutama pada musim cuti sekolah. Kami akan membuat pengumuman itu dalam masa terdekat," katanya semasa sidang media pelancaran hab pengecasan EV itu di sini, hari ini.

Lee Ming berkata, hab pengecasan itu merupakan pencapaian penting dalam usaha syarikat untuk membina sambungan pengecasan EV di negara ini.

"Dua tahun lalu, kami melancarkan Shell Recharge pertama di titik pengecasan HPC Tangkak, Johor diikuti rapat dengan pengumuman penyiapan tujuh lagi lokasi pengecasan HPC di sepanjang lebuh raya Utara-Selatan untuk lapan bulan kemudian.

"Dengan 22 titik pengecasan HPC di 11 lokasi sepanjang lebuh raya Malaysia, penyelesaian Shell Recharge berkembang merentasi sempadan, menghubungkan Thailand, Malaysia dan Singapura dengan salah satu laluan EV terpanjang di Asia Tenggara," katanya.

Lee Ming berkata, ini akan mengukuhkan lagi komitmen kami dalam mengembangkan penyelesaian e-mobiliti inovatif kami di seluruh negara dengan menyediakan kelajuan terjamin, julat dan ketersambungan untuk pemandu EV.

"Sebagai sebahagian daripada strategi kami, syarikat sentiasa berusaha untuk memudahkan peralihan pelanggan ke arah mobiliti elektrik dengan mengembangkan penyelesaian pengecasan berprestasi tinggi di bandar utama dan sepanjang lebuh raya utama," katanya.

 

SUMBER : BHOnline

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Pelancaran aplikasi ini mengukuhkan lagi usaha Shell dalam memperluaskan jaringan Shell Recharge…
Berita Domestik
Ini merupakan satu langkah penting dalam memperluaskan infrastruktur EV, melengkapkan rangkaian…
Berita Domestik
Hab itu merangkumi empat pengecas prestasi tinggi DC dengan 360 kW dan bakinya ialah pengecas AC…