Shell buka stesen pengecasan berkuasa tinggi di Tangkak - apa maksudnya untuk Malaysia?

oleh HEZERI SAMSURI|
Dunia sekarang sedang giat untuk menukar lanskap automotif dari penggunaan bahan api fosil kepada elektrik. 

Di Indonesia, sudah ada lebih dari 180 stesen pengecasan untuk kenderaan elektrik (EV) di sana. Thailand mempunyai 1,000 stesen pengecasan sementara Singapura mempunyai 1,600, jumlah yang paling banyak walaupun ia mempunyai jumlah penduduk paling sedikit.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Malaysia pula ialah negara pertama di Asia Tenggara yang mempunyai jaringan stesen pengecasan EV. Ia juga adalah negara pertama di Asia Tenggara untuk memberikan insentif cukai kepada kenderaan EV dan kenderaan cekap tenaga (EEV). Malah jika kita terus menggunakan skrip skema ahli politik ini, Malaysia ialah negara pertama di Asia Tenggara yang mempunyai dua syarikat kereta nasional dan satu syarikat motosikal nasional.

Namun kenapa Malaysia masih bertahan dengan 400 pusat pengecasan di seluruh negara selepas hampir 10 tahun ia memulakan "gerak hijau" ke arah EV?

Jawapannya mudah - kerana pemimpin-pemimpin yang tidak begitu serius dalam meneruskan usaha-usaha oleh "pasukan lama", dan kerana pemimpin-pemimpin dipilih tidak mahu mendengar nasihat profesional dari bidang terbabit.

 

Namun begitu, pelancaran stesen pengecasan berkapasiti tinggi oleh Shell Recharge  dua minggu sudah memberikan sedikit sinar kepada dunia EV Malaysia.

Careta dijemput untuk hadir menguji stesen pengecasan itu dengan memandu Porsche Taycan EV. Perjalanan bermula dari Porsche Ara Damansara dan terus ke Shell Recharge Tangkak.

Kami masih mempunyai lebih dari 30 peratus tenaga bila sampai ke Shell Recharge Tangkak di lebuhraya Plus hala selatan. Ini cukup bagus kerana kami tidak mempraktikan "hypermiling" (cara pemanduan terkemut-kemut untuk memaksimakan jarak dengan bahan api yang ada) dan halaju purata semasa perjalanan memang seperti memandu kenderaan petrol.

Rugi jika sebuah Porsche dipandu dengan terlalu perlahan. Baik beli Axia.

 

 

Stesen Shell Recharge Tangkak boleh dikatakan hampir dengan titik tengah perjalanan antara Kuala Lumpur ke Johor Bahru (titik tengah sebenarnya lebih hampir ke Pagoh, yang berada lebih kurang 20 km selepas Tangkak). 

Wujudnya stesen pengecasan pantas Shell Recharge membolehkan sebuah EV modern mampu dipandu dengan selesa dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru. Ia membuka lembaran baharu di dalam dunia EV - umpama membebaskan lagi pergerakan EV untuk terus meneroka ke serata pelusuk semenanjung.

Shell Recharge Tangkak juga bukan setakat stesen pengecasan biasa. Ia menggunakan pengecas pantas ABB Terra 184 DC yang mampu memberikan tenaga setinggi 180kW melalui dua penyambung CCS. Maksudnya, sekiranya Renault Zoe EV saya dicas di situ, ia cuma mengambil masa kurang dari 10 minit untuk cas penuh (dari kosong). 

Walaupun jika dua kenderaan dicas di situ akan mengurangkan kadar itu dari 180kW ke 90kw, ia masih pantas. 

 

 

Shell Recharge ini memerlukan anda menggunakan aplikasi ParkEasy untuk membuat tempahan dan mengecas. Aplikasi ParkEasy juga mengira tempoh masa anda mengecas, bukannya jumlah tenaga yang digunakan. 

Ini bermakna sekiranya anda berfoya-foya di bilik air atau dengan gadis di kaunter, anda akan membayar jumlah masa itu. Mungkin ada bagusnya supaya anda tidak leka dan terus bergerak pergi bila bateri sudah dicas.

Berapa harganya?

Oleh kerana ini bukan inisiatif kerajaan, anda perlu membayar untuk mengecas di Shell Recharge. Dari pengalaman kami menggunakan ParkEasy di Shell Recharge, anda perlu membayar RM4 untuk menempah pengecas, dan selepas itu kosnya ialah RM20 untuk setiap lima minit. 

Ini menjadikan kos mengecas EV selama sejam di Shell Recharge ialah RM244!

Untuk menurunkan kos tersebut, anda perlu menjadi ahli Shell Recharge. Kosnya seperti di bawah:

 

Jika anda membeli sebuah Porsche Taycan, anda akan diberikan Keahlian Platinum secara percuma dan kos mengecas juga turun kepada RM10 untuk setiap lima minit. Memang terbukti harga mengecas yang digunapakai oleh Shell lebih kepada nilai yang digunakan di stesen pengecas Shell Recharge di Eropah, bukannya kos elektrik sebenar.

Shell Recharge juga wujud di Singapura dan keahlian anda di sini boleh digunakan untuk menikmati faedah di negara kepulauan itu.

Secara ringkas, stesen pengecasan pantas Shell Recharge buat masa sekarang sebenarnya lebih mahal dari kos penggunaan petrol kereta berenjin biasa. Walaupun anda tidak mencemarkan alam sekitar, sayangnya tidak ada sebarang ganjaran besar untuk niat suci anda itu.

Perit untuk diterima akal dan poket, dan ia cuma akan membuatkan rakyat lebih jauh dari EV. 

 

 

Walaupun ada stesen pengecasan yang lebih murah, tetapi jika tidak ada kawalan harga dan standard mengecas (Shell Recharge hanya menerima penyambung jenis CCS sahaja, bermakna kereta hybrid, Nissan Lead dan Zoe saya hanya boleh merenung stesen pengecaj itu dari jauh), insiatif EV kita akan ke laut dengan cepat.

Yang merungsingkan saya, insentif yang diberikan adalah dalam bentuk pengecualian cukai. Ini bermakna, kerugian dari pendapatan negara itu akan hilang begitu sahaja tanpa mendapat pulangan yang sebenarnya.

Mungkin kementerian-kementerian terbabit perlu dipaksa oleh Kementerian Kewangan untuk duduk semeja dengan kadar segera sebelum wang rakyat terus dibazirkan begitu sahaja?

Dan oh ya, Shell Recharge buat masa sekarang hanya wujud di laluan ke selatan. Dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur, belum wujud lagi stesen pengecasan Shell Recharge ya!
 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Kami telah bawa isu ini ke perhatian kerajaan Persekutuan, kami hargai cakna dan keprihatinan…
Berita Domestik
Kajian dan ujian yang dilakukan oleh Shell untuk formulasi terbaharu ini menjamin prestasi yang…
Pelancaran
Ia juga selari dengan aspirasi Shell untuk menjadi perniagaan tenaga sifar emisi menjelang tahun…