Mustang GT500KR ini menggunakan asas daripada model Mustang Shelby GT500 yang dilengkapi dengan enjin 5.2 liter bentangan V8, dibantu dengan unit pengecas lampau Whipple 3.8 liter, intercooler, unit penukar haba, sistem kemasukan udara sejuk dan ekzos cat-back dari Borla.
Modifikasi ini membolehkan Mustang GT500KR ini menghamburkan kuasa lebih daripada 900 kuasa kuda, jauh lebih bertenaga berbanding model asal GT500 (760 hp).
Untuk memastikan kuasa liar itu tadi mampu dikawal, GT500KR turut dilengkapi dengan komponen half-shaft prestasi, spring boleh laras ketinggian, sway bar Ford Performance dan suspensi MagneRide yang telah dikalibrasi semula.
Keempat-empat arka roda dipenuhi dengan rim aluminium tempa bersaiz 20 inci yang dibaluti tayar Michelin 'berprestasi tinggi'.
Untuk sebuah 'King of The Road', GT500KR ini dipasangkan dengan beberapa komponen gentian karbon seperti hud enjin, splitter depan, diffuser belakang dan flap Gurney, diikuti dengan beberapa lencana Shelby sebagai bukti ia bukanlah sekadar kejuruteraan pelekat semata-mata.
Pembeli juga boleh mendapatkan pakej opsyen kit badan lebar, jalur grafik bercat dan juga jalur perlumbaan Le Mans.
Ruang kabin pula dihiasi dengan kerusi balutan kulit yang diupholsteri semula, alas lantai bersulam, serta plak papan pemuka bernombor siri, sementara kerusi belakang boleh dibuang dan digantikan dengan bar harness.
Harga untuk sebuah pakej GT500KR ini bermula dari $54,995 (RM231,336) dan boleh dipadankan pada mana-mana model Shelby GT500 tahun 2020-2022.
Sayang sekali, hanya 180 unit sahaja yang akan ditawarkan (60 unit per tahun) untuk pasaran Amerika Syarikat, sementara selebihnya (45 unit) untuk pasaran yang tidak dinyatakan.