Shelby F-150 2021 tawar pakej supercharger, mampu lonjak kuasa sehingga 775 hp!

oleh Mohamad Hanif|
Awal tahun lalu, Ford telah melancarkan secara rasmi generasi terbaharu trak pikap F-150 Raptor dengan kuasa setinggi 450 hp dan daya kilas 691 Nm.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Jika penawaran tersebut dilihat tidak cukup berkuasa, anda mungkin perlu melihat kepada F-150 yang ditala oleh Shelby, dan disifatkan sebagai trak paling berkuasa dan paling berkeupayaan.

 


Shelby F-150 2021 dibangunkan berdasarkan F-150 Lariat 4x4 di mana penampilan luaran kini lebih agresif, terima kasih kepada hud ram-air, bampar hadapan yang lebih sporti, serta rim bersaiz 22 inci yang dibaluti tayar all-terrain BF Goodrich bersaiz 35 inci.

Selain daripada itu, trak ini turut mendapat fender flare yang mengikut warna badan, tempat pemijak sisi berkuasa, gril hadapan dengan jenama Shelby, jalur badan, dan tonneau cover.

 


Menurut Shelby, mereka menawarkan pakej supercharger yang menambah komponen pengecas lampau Whipple, throttle body, pemancit bahan api aliran tinggi, dan sistem kemasukan udara berprestasi dengan tiub daripada gentian karbon.

Terima kasih kepada modifikasi tersebut, enjin asal V8 5.0 liter itu kini mampu menghamburkan kuasa setinggi 775 hp.

Sisa-sisa pembakaran bahan api disalurkan keluar menerusi sistem ekzos Borla, manakala pengendalian trak pikap ini diserahkan kepada sistem penyerap hentak FOX 2.5 yang dibantu dengan kit pengangkat BDS.

 


Ruang kabin trak Shelby F-150 ini diserikan dengan tempat duduk balutan kulit dua tona, sulaman logo Shelby, trim gentian karbon, pedal billet, plak bernombor dan alas lantai khas.

Produksi trak pikap ini hanya dihadkan kepada 600 unit sahaja, dan berita baiknya Shelby memperuntukkan beberapa unit untuk dieksport.

 

 


Harga jualan bermula dari $107,080 (RM448,558) untuk versi asas dan $114,980 (RM481,651) untuk versi yang didatangkan dengan pakej supercharger.

Harga yang disebutkan itu adalah termasuk kos untuk sebuah model penderma Ford F-150 Lariat 4x4.