Shelby 427 Cobra FAM 1965 milik Paul Walker untuk dijual

oleh Mohamad Hanif|
Mendiang Paul Walker yang pernah membintangi filem francais Fast and Furious sebenarnya turut dikenali umum kerana mempunyai koleksi kereta-kereta yang istimewa.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Salah satu daripada koleksi yang dikumpul oleh mendiang adalah Shelby 427 Cobra CSX1000 FAM tahun 1965.

Untuk makluman, FAM bukanlah bererti jentera ini dihasilkan sebagai tribut kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia yang entah bila mahu ke Piala Dunia itu, akan tetapi ia merupakan akronim "Ferrari Ass is Mine" yang merujuk kepada persaingan antara Shelby (dan Ford) dengan Ferrari.

 


Lebih menarik perhatian apabila jentera ini dilayangkan dengan warna merah signatur Ferrari Rosso Corsa.

Difahamkan sebanyak 14 unit CSX1000 dikomisyenkan oleh Carrol Shelby pada lewat tahun 1990-an dan hanya dua daripadanya merupakan edisi FAM dengan penambahan lencana dan gugusan meter yang khusus.

Jentera ini didatangkan dengan nadi Shelby 427 FE 468 V8 yang mampu menjana 550 kuasa kuda dan dipadankan dengan transmisi manual lima nisbah kelajuan daripada Tremec TKO600.

 


Selain daripada enjin yang berkuasa, model FAM ini turut menerima komponen penyejuk minyak, radiator kipas berkembar aluminium, perumah differential aluminium Shelby dan brek daripada Wilwood dengan angkup daripada Shelby.

Aspek gantungan pula adalah jenis bebas untuk keempat-empat sudut yang dihiasi dengan rim stail Halibrand bersaiz 15 inci.

Seperti yang disebutkan di atas, Shelby 427 Cobra FAM ini dilayangkan warna Ferrari Rosso Corsa, sementara ruang dalaman pula adalah daripada kulit tan, dan menampilkan bar anti-oleng tahan karat, karpet kustom Shelby, roda stereng 15 inci, serta layout papan pemuka S/C.

 


Satu kereta dalam pakej yang lengkap: model ikonik edisi terhad FAM, dikomisyenkan sendiri oleh Carrol Shelby, dan dimiliki oleh mendiang Paul Walker.

Sudah pasti harganya bakal melambung tinggi disebabkan status yang dimilikinya.

Ia bakal dilelong oleh Mecum Auctions bermula 19-20 Mac ini.