Shamsubaharin: Pemandu teksi tidak pandai urus kewangan punca mereka sukar bayar hutang

oleh HEZERI SAMSURI|
Kemelut pemandu teksi kali ini semakin berat apabila portal berita Free Malaysia Today (FMT) memaparkan laporan kesukaran pemandu teksi untuk membayar pinjaman sewa/beli kenderaan mereka.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menurut portal tersebut, separuh dari 80,000 pemandu teksi di seluruh negara menanggung hutang kepada syarikat teksi.

Ini disampaikan oleh Kamarudin Mohd Hussain, ketua sebuah persekutuan persatuan pemandu teksi dan limosin.

Laporan itu seterusnya berkata struktur pembiayaan yang ada sekarang menyebabkan pemandu terikat dengan sesebuah syarikat teksi sehingga 10 tahun.

Kemunculan perkhidmatan e-hailing pula semakin menyukarkan keadaan.

Di New York, hampir 1,000 orang pemandu teksi di kotaraya itu berdepan dengan isu bangkrap.

Pakar pengangkutan, Goh Bok Yen berkata kepada FMT bahawa syarikat teksi kerap mengenakan syarat ketat ketika memberi pinjaman kepada pemandu.

Sewa harian mereka ada yang mencecah RM110 sehari, bermakna pemandu teksi perlu mencari lebih dari itu untuk menampung kos penyelenggaraan, kos bahan api dan bakinya ialah pendapatan mereka.

"Mereka sekurang-kurangnya perlu memperolehi sebanyak RM300 sehari," ujar Goh kepada FMT.

Kamarudin menyifatkan syarikat teksi sedemikian sebagai "penghisap darah" kerana mereka akan merampas teksi sekiranya pemandu gagal membayar sewaan selama seminggu.

"Bank pun akan menarik kereta kita jika gagal membuat pembayaran dalam tempoh dua bulan 14 hari," ujarnya.

Kamarudin menyalahkan kerajaan kerana membenarkan syarikat teksi untuk bertindak sesuka hati.

"Kadar pinjaman bank adalah lebih rendah. Untuk sebuah Proton contohnya, bayaran ansuran ialah RM1,100. Kurang dari RM40 sehari!" tambah Kamarudin.

Penasihat Big Blue Taxi Facilities yang juga sering bangkit mempertahankan hak pemandu teksi, Shamsubaharin Ismail berkata pemandu teksi harus menyalahkan diri sendiri kerana mereka tidak pandai menguruskan kewangan mereka.

"Mereka berbelanja apa yang mereka dapat untuk hari itu," terang Shamsubaharin kepada FMT.

Shamsubaharin seterusnya berkata syarat pinjaman yang dikenakan kepada syarikat teksi itu adalah adil dan pemandu hanya perlu mengemukakan seorang penjamin sahaja.

Beliau menambah, syarikat teksi akan menghadapi masalah bila pemandu teksi gagal melunaskan pinjaman mereka.

"Syarikat Big Blue belum mengutip tunggakan sebanyak RM2 juta," katanya.

"Syarikat teksi juga tidak boleh mengambil tindakan undang-undang kepada pemandu teksi kerana tahu mereka tidak mampu untuk membayar," beliau mengakhiri wawancara bersama FMT.

Ini sangat berlainan dengan sentimen menjadi wakil perjuangan pemandu teksi yang sering disuarakan oleh Shamsubaharin selama ini.

* Laporan asal FMT boleh dibaca di pautan ini.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut Shamsubaharin, kerajaan terdahulu (Barisan Nasional) ada memberi bantuan walaupun kerajaan…
Berita Domestik
  Datuk Shamsubaharin Ismail, penasihat kepada syarikat pengendali teksi Big Blue Taxi Service Sdn…