Syarikat itu memfailkan permohonan penyenaraian pada 28 April, dan menerima kelulusan pada 13 Oktober. Tawaran antarabangsa dan awam Hong Kong bermula hari ini, 27 Oktober, manakala harga muktamad akan ditetapkan pada 3 November.
Seres menyasarkan kutipan dana sekitar AS$1.7 bilion (RM8.15 bilion), dengan hampir 49% (AS$826 juta / ±RM3.96 bilion) telah pun dijamin oleh 22 pelabur utama termasuk Schroders, Mirae Asset (Korea Selatan), Postal Savings Wealth Management, dan Chongqing Yufu Capital.
Berdasarkan penilaian relatif (25–30x PE) dan model DCF, nilai sasaran saham Seres berada dalam lingkungan 120–140 yuan (RM77–RM90), bersamaan nilai pasaran 118.5–142.2 bilion yuan (AS$16.59–19.91 bilion/RM79.6–RM95.5 bilion). Jika saham mencapai harga tertinggi HK$131.50, nilai pasaran Seres akan mencecah HK$215 bilion (AS$27.67 bilion /RM132.7 bilion), sebaris dengan gergasi EV China lain seperti Nio dan Li Auto.
Seres merancang memperuntukkan 70% hasil IPO kepada penyelidikan dan pembangunan teknologi (R&D), 20% untuk pengembangan rangkaian jualan serta infrastruktur pengecasan global, dan 10% lagi sebagai modal kerja tambahan.
Menjelang 2026, Seres menyasarkan membuka 100 pusat pengalaman (experience centres) di Eropah dan Timur Tengah. Bersama Huawei, Seres turut berhasrat membina rangkaian pengecasan pantas yang meliputi 80% lebuh raya utama di pasaran antarabangsa.
Untuk rekod, awal tahun ini CATL turut disenaraikan di Hong Kong dengan jumlah dana lebih besar berbanding Seres, manakala Chery yang disenaraikan pada September mengumpul dana lebih kecil daripada Seres.
Latar Belakang Seres
Dahulu dikenali sebagai Dongfeng Sokon (DFSK), syarikat ini bermula sebagai pengeluar van dan trak ringan yang bersaing dengan model seperti Wuling Hongguang, fokus kepada segmen kos rendah untuk usahawan kecil dan bantuan ekonomi luar bandar. Namun, kekurangan teknologi EV menyebabkan DFSK berdepan kesukaran apabila trend kenderaan tenaga baharu meningkat.

Kerjasama strategik dengan Huawei menjadi titik perubahan. Walaupun model pertama mereka, Seres SF5, gagal di pasaran, pelancaran jenama Aito yang dihasilkan bersama Huawei terus menjadi kejayaan besar. Model Aito M9, khususnya, kini mendominasi jualan segmen mewah di China bagi kenderaan melebihi 500,000 yuan (AS$70,000.00/RM335,000.00).