Seorang penuntut UTP maut, tiga rakan cedera kereta terbabas

oleh Hamimah Hamid|
SEORANG penuntut Universiti Teknologi Petronas (UTP) maut manakala tiga lagi rakannya cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas pada malam Ahad.

Mangsa Mohamad Najib Mohd Adin, 19, disahkan maut di lokasi kejadian manakala tiga lagi juga penuntut UTP hanya cedera ringan dalam kemalangan yang berlaku berhampiran pasaraya Econsave, Seri Iskandar itu.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

Kemua mangsa yang berasal dari Sabah menaiki kereta Perodua Bezza dipercayai terbabas di bahu jalan kira-kira pukul 8.09 malam

 

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, panggilan kecemasan kejadian diterima kira-kira 8.19 malam.

 

Menurutnya, sepasukan 10 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandari digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat.

 

"Tiba di lokasi kejadian didapati sebuah kereta Perodua Bezza dipercayai terbabas di bahu jalan dan tiada mangsa yang tersepit.

 

“Seorang daripada mereka disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan, manakala tiga mangsa lain hanya cedera ringan," katanya.

 

Ujar beliau, ketua operasi telah mengarahkan anggota membuat penyelamatan dengan memberi rawatan awal kepada tiga orang mangsa yang cedera ringan.

 

"Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

 

"Tiga lagi yang cedera pula dihantar ke Hospital Changkat Melintang oleh ambulans dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS)," katanya.

 

Terdahulu, tular video memaparkan Perodua Bezza terlanggar pembahagi jalan sebelum berpusing beberapa kali dan masuk ke arah bertentangan.

 

Video terbabit turut memaparkan salah seorang mangsa terpelanting keluar dari kenderaan terbabit.