Seorang maut, dua cedera - Waja gagal memotong, Viva dan Harrier jadi mangsa

oleh Penyumbang Rencana|
foto Sinar Harian
Seorang gadis maut manakala dua lagi cedera parah selepas kereta jenis Perodua Viva yang dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan dua kenderaan lain dalam kejadian berhampiran kedai keropok losong, Jalan Kadok-Ketereh di Kota Bharu pada Sabtu.

Kejadian jam 1 tengah hari itu menyebabkan mangsa yang berusia 20-an maut di lokasi selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Dua lagi mangsa yang parah menerima rawatan di Zon Merah Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (Hospital Pakar HUSM) Kubang Kerian.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan jalan raya melibatkan tiga buah kenderaan pada jam 1.35 tengah hari.

"Siasatan awal mendapati kereta dipandu gadis terbabit dari arah Tunjong menghala ke Ketereh.

"Setiba di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Proton Waja dari arah belakang telah cuba memotong kereta dipandu mangsa

"Bagaimanapun pemandu Proton Waja dipercayai gagal memotong lalu melanggar bahagian sisi kanan sebelah hadapan kereta dipandu gadis berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.

Kereta Perodua Viva telah berpusing lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan menyebabkan perlanggaran dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Harrier yang dipandu seorang lelaki berusia awal 50-an.

Mohd Rosdi berkata, pemandu dan penumpang Toyota Harrier mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di zon hijau Hospital Pakar HUSM.

"Usaha mengesan pemandu kereta Proton Waja sedang giat dilakukan.

Kes ini disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurutnya, mangsa yang meninggal dunia ialah penunggang motosikal jenis BMW S1200RT, Mohd Alfendi…
Berita Domestik
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum…
Berita Domestik
Menurutnya, kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 39 (1) Akta…