Seorang anggota ATM maut trak tentera terbalik

oleh Hamimah Hamid|
SEORANG anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) maut selepas trak tentera yang membawa muatan makanan terbabas ketika cuba mengelak kenderaan lain di Jalan Kampung Bukit Kechik, Changlun.

Kemalangan yang menyebabkan kenderaan terbabit terbalik dengan keempat-empat tayar di atas turut menyebabkan lima anggota ATM yang lain cedera.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Chien Chunng Tsaur berkata, laporan kejadian berkaitan kemalangan diterima pada jam 1.30 petang.

 

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sewaktu pemandu tentera berusia 29 tahun yang bertugas di Kem 5 Rejimen Sempadan Bukit Kayu Hitam memandu dari arah Kem Askar Wataniah (513 AW) Kepala Batas menghala ke Markas 30 Briged di Kem Bukit Cowder di Perlis.

 

Ujar beliau, lori tentera terbabit cuba mengelak sebuah kereta yang bergerak dari arah bertentangan.

 

"Lori tentera terbabit cuba mengelak ke kiri namun disebabkan jalan raya yang sempit dan bahu jalan tidak berturap menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan lalu terbabas sendiri jatuh ke bawah cerun ladang kelapa sawit yang berada di sebelah kiri jalan.

 

"Akibat daripada kemalangan itu, seorang daripada lima penumpang belakang mengalami kecederaan disahkan maut di tempat kejadian," katanya. 

 

Chunng Tsaur berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Jitra untuk bedah siasat.

 

"Seorang mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Jitra manakala empat lagi dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk rawatan lanjut," katanya.

 

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

 

Ini merupakan kejadian kedua membabitkan anggota ATM dalam bulan ini dimana pada 2 Febuari lalu tiga anggota tentera maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah trak tentera dengan sebuah lori Isuzu di Kilometer 77.5, Lebuhraya Utara Selatan arah utara.

 

📸 Oleh PDRM