Senarai model baharu yang akan masuk Malaysia tahun 2021

oleh Mohamad Hanif|
Tahun 2020 yang telah pun melabuhkan tirainya beberapa hari yang lalu dan kita kini mula memasuki tahun baharu 2021 dengan harapan lanskap negara akan menjadi lebih baik berbanding sebelum ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Berita baik, kerajaan kini melanjutkan pula pengecualian cukai jualan (SST) bagi kenderaan baharu CBU dan CKD sehingga penghujung bulan Jun ini.

Jadi untuk tahun 2021, kami akan senaraikan beberapa buah model kenderaan baharu yang bakal mewarnai industri automotif tempatan.
 

Proton: Iriz Active | Iriz R3 LE | Persona Black Edition | Saga R3 LE | Geely Jiaji (Proton V70) | Geely Bin Rui (Proton S50)


Dimulakan dengan pengeluar automotif negara, Proton dijangka akan melancarkan beberapa buah model facelift seperti Iriz (R3 LE, Active), Persona Black Edition, serta Proton Saga yang diberikan penampilan R3 Limited Edition.

Selain daripada itu, sebagai sebuah syarikat yang kini mendapat bantuan daripada China, Proton dijangka akan memperkenalkan model ketiga Geely sebagai pengganti kepada Proton Exora, iaitu Geely Jiaji (Proton V70?) berdasarkan laporan Wapcar yang memetik sumber RHB Research.

Baca: Geely Jiaji (VF11)

Malah, terdapat khabar angin yang menyebut Proton akan mula menggantikan peranan Preve menerusi model sedan segmen C baharu, iaitu Proton S50 (Geely Binrui) yang dibangunkan atas platform BMA, dengan enjin 1.4 liter turbo (139 hp/235 Nm).

Baca: Dua sedan baharu Proton menjelang 2021 dan 2022


Perodua: D55L | Pengganti MPV Alza


Seperti yang telah dilaporkan sebelum ini, SUV baharu Perodua dengan kod nama D55L itu akan memunculkan diri pada tahun ini setelah ia disahkan tidak akan dilancarkan pada tahun lalu disebabkan wabak pandemik COVID-19.

Dalam satu laporan, Perodua dikatakan menganjak tarikh pelancaran kepada bulan Mac 2021 dan bukannya awal tahun seperti yang dijangkakan ramai.

Baca: D55L guna enjin 1.0 liter turbo!

Selain daripada D55L, kami juga pernah melaporkan Daihatsu sedang mempersiapkan sebuah MPV daripada platform DNGA yang bakal menggantikan Toyota Avanza serta Perodua Alza.

Sebelum ini, Daihatsu pernah memperlihatkan model konsep yang digelar sebagai DN-Multisix yang menawarkan tiga baris tempat duduk, dan memuatkan sehingga enam orang pada satu-satu masa.

Model ini sepatutnya diperlihatkan pada penghujung tahun yang lalu, namun disebabkan wabak pandemik, kita mungkin akan melihat kelibatnya sedikit masa kelak.

Baca: MPV baharu Perodua guna platform DNGA


Toyota: Corolla Cross | Fortuner (FL) | Innova (FL)


Baru-baru ini, UMW Toyota telah menaikkan dua keping gambar teaser yang merujuk kepada model facelift Fortuner dan Innova yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat.

Namun, usah dilupakan pada model serba baharu Corolla Cross yang telah pun dikesan lebih awal pada penghujung bulan Julai tahun lalu.

Baca: Corolla Cross dilancarkan di Thailand, Indonesia

Corolla Cross difahamkan akan menggantikan peranan Toyota C-HR yang telah pun dikeluarkan daripada senarai barisan model di laman web UMW Toyota.

Crossover Corolla ini didatangkan dengan nadi 1,798 cc 2ZR-FBE yang menghasilkan 140 PS dan 177 Nm yang memacu roda hadapan, transmisi CVT dan mampu mencapai penggunaan bahan api serendah 6.5 liter/100 km.
 

Lexus: LM 350


Divisyen mewah Toyota, Lexus Malaysia telah pun membuka tempahan bagi model MPV super mewah LM 350 pada penghujung bulan yang lalu dengan tanda harga RM1.15 juta.

Ia bakal dilancarkan pada bulan Mei ini.

Baca: Lexus LM 350 sudah boleh ditempah


Honda: City RS | City hatchback


Yang paling dinanti-nantikan adalah varian tertinggi City RS yang 'disimpan' oleh Honda Malaysia tanpa sebarang pengumuman tanda harga.

Difahamkan, harga sebenar akan diumumkan pada bulan Januari 2021 dan kami jangkakan harganya agak kompetitif untuk sebuah sedan dengan teknologi hibrid motor elektrik berkembar i-MMD itu.

Selain City RS, sebuah lagi 'varian' City iaitu City hatchback akan turut rasmi memasuki pasaran Malaysia pada tahun ini setelah pengenalan rasmi di Thailand tempoh hari.

Baca: Honda City hatchback dilancarkan di Thailand

Untuk mereka yang menantikan Jazz, anda mungkin sekali perlu berhijrah ke pasaran Eropah dan Jepun.

Baca: Perbandingan City sedan, City hatchback, Jazz, Yaris


Nissan: Kicks | Navara | Sylphy


Nissan sebelum ini mengumumkan akan membawa masuk tiga model baharu, dimulakan oleh sedan Almera yang telah selesai dilancarkan tempoh hari, manakala dua buah model lagi iaitu Kicks dan Sylphy difahamkan akan mula menginjakkan kaki menjelang tahun ini.

Baca: Nissan Almera 2020

Selain daripada itu, terdapat kemungkinan Tan Chong Motor akan memperkenalkan sekali model facelift trak pikap Nissan Navara yang telah dilancarkan di peringkat global tahun lalu.

Selain daripada reka bentuk luaran yang menyerupai gaya trak Amerika, Nissan turut mempertingkatkan aspek keselamatan seperti ciri amaran pelanggaran hadapan, brek kecemasan automatik dan sistem pemantauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang dan amaran tumpuan pemandu.

Baca: Nissan Navara facelift 2021


Mazda: BT-50 | MX-30 EV


Menerusi satu temubual yang dijalankan oleh BFM, CEO Bermaz Auto sebelum ini mengesahkan akan membawa masuk dua model baharu, iaitu crossover EV MX-30 dan trak pikap generasi baharu Mazda BT-50 menjelang suku pertama tahun ini.

Mazda MX-30 merupakan sebuah kenderaan elektrik dengan motor elektrik tunggal dan kuasa 142 hp serta daya kilas 263 Nm.

Baca: Mazda MX-30, crossover coupe berkuasa elektrik

Sementara trak pikap Mazda BT-50 pula menggunakan platform generasi baharu Isuzu D-Max setelah sekian lama menggunakan platform Ranger.

Baca: Mazda BT-50 generasi baharu


Isuzu: D-Max | mu-X


Sedikit mengecewakan apabila Isuzu Malaysia sebelum ini mengumumkan mereka tidak akan membawa masuk trak pikap generasi baharu D-Max pada tahun lalu, walaupun ia sudah lama dilancarkan di Thailand pada tahun 2019.

Baca: Isuzu D-Max generasi baharu

Namun, diharapkan ia bakal membuat kemunculan pertama di Malaysia, memandangkan Bermaz Auto sudah pun mengesahkan 'kembar' D-Max (BT-50) akan mula memasuki pasaran tempatan menjelang suku pertama tahun ini.

Selain D-Max, SUV mu-X generasi baharu juga dijangka akan membuat kemunculan buat kali pertama pada tahun ini.

Baca: Isuzu mu-X generasi baharu


Peugeot: 2008


Beberapa pengguna jalan raya Malaysia telah pun melaporkan terdapat kelibat model ujian Peugeot 2008 yang bakal dijual di bawah pengurusan baharu - Berjaya Auto Alliance Sdn Bhd.

Ia juga sekaligus merangkap model pertama Peugeot yang bakal dilancarkan untuk tahun ini, membawakan enjin 1.2 liter turbo (inline-3) yang menghasilkan 135 PS/230 Nm serta padanan transmisi auto enam kelajuan.

Baca: Peugeot 2008 2020


Volkswagen: Golf GTI | Arteon (FL)


Unit ujian Golf GTI telah pun dikesan meluncur atas jalan raya Malaysia semenjak tahun lalu, membawakan bayangan ia bakal dilancarkan pada tahun ini, dan merupakan unit pemasangan tempatan bertempat di Pekan, Pahang.

Baca: Golf GTI Mk8 - macam-macam jajan ada!

Selain daripada hot hatch tersebut, model sedan fastback Arteon facelift juga turut dikesan sedang diuji walaupun sedan tersebut baharu sahaja dilancarkan pada Ogos tahun lalu.

Versi facelift membawakan perubahan dari segi kosmetik seperti contoh grafik LED, perumah lampu belakang yang lebih gelap, DRL yang lebih memanjang, serta tip ekzos yang lebih bersegi.

Baca: Arteon 2021 facelift & Arteon Shooting Brake


Land Rover: Defender generasi baharu


Jentera yang sinonim dengan keupayaan off-road itu difahamkan akan memunculkan diri di pasaran tempatan menjelang suku pertama tahun 2021 setelah versi terakhir SUV off-road ikonik itu dijual pada tahun 2016 sebagai sebuah varian Double Cab dengan enjin 2,198 cc yang menghasilkan 120 hp/360 Nm.

Generasi baharu Defender ini menampilkan tiga bentuk badan yang berbeza (Defender 90, Defender 110, dan Defender Hard Top) serta variasi enjin Ingenium empat silinder dan enam silinder sebaris.

Baca: Land Rover Defender generasi baharu


Volvo: XC40 PHEV | XC40 Recharge


Baru-baru ini, Volvo Car Malaysia telah pun menawarkan lanjutan perlindungan waranti terhadap bateri kenderaan PHEV, dan tidak mustahil ia akan turut merangkumi model-model baharu yang akan dibawa masuk kelak seperti XC40 PHEV.

Volvo XC40 T5 Recharge menampilkan enjin tiga silinder sebaris 1.5 liter yang dipadankan dengan motor elektrik, tranmisi DCT dan berupaya menjana 258 hp/425 Nm.

Selain daripada itu, terdapat kemungkinan versi elektrik sepenuhnya XC40 Recharge akan turut dibawa masuk, di mana ia dikuasakan oleh dua motor elektrik (402 hp), pek bateri 78 kWh dan mampu membenarkan jarak operasi sejauh 400 km.

Baca: Volvo XC40 Recharge


Mercedes-Benz: S-Class generasi baharu | AMG GT Black Series


Generasi baharu sedan mewah bersaiz penuh Mercedes-Benz S-Class telah dilancarkan pada bulan sembilan tahun lalu, dan melihatkan kepada keaktifan Mercedes-Benz Malaysia, tidak mustahil ia akan dibawa masuk sedikit masa kelak.

Baca: Mercedes-Benz S-Class 2021

Selain daripada itu, untuk peminat-peminat jentera AMG, kami menjangkakan jentera yang telah berjaya memecahkan rekod terpantas di litar Nurburgring ini akan turut sama memasuki Malaysia kelak - Mercedes-AMG GT Black Series.

Baca: Mercedes-AMG GT Black Series 2021

Mercedes-AMG GT Black Series ini hadir dengan enjin 4.0 liter bentangan V8 jenis flat-plane crank dan pengecas turbo berkembar yang mampu menghasilkan angka output 720 hp dan 800 Nm.

AMG GT Black Series ini mampu memecut sepantas 3.2 saat dari 0-100 km/j, dan 0-200 km/j dalam masa kurang sembilan saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 325 km/j.
 

BMW: M3 Competition | M4 Competition


Penghujung tahun lalu, BMW Malaysia telah pun membuka tempahan bagi dua buah model berprestasi tinggi yang hanya dibawakan dalam spesifikasi Competition, iaitu BMW M3 Competition dan BMW M4 Competition.

Baca: BMW M3, M4 generasi baharu

Kedua-dua BMW M3 dan M4 Competition generasi baharu ini didatangkan dengan nadi enjin enam silinder sebaris 3.0 liter dibantu dengan unit pengecas turbo berkembar yang menghasilkan 503 kuasa kuda dan 650 Nm.

Disebabkan BMW Malaysia hanya membawa masuk versi Competition, hanya transmisi automatik lapan nisbah kelajuan sahaja yang ditawarkan untuk M3 dan M4 (melepas nak merasa BMW manual!), namun ia lengkap dengan ciri rev-match dan mod manual yang dikawal menerusi paddle shifter.

Baca: BMW Malaysia buka tempahan BMW M3 Competition, M4 Competition!

Harga jualan anggaran bermula dari RM 664,800.00 sehingga RM740,800.00 bergantung kepada model dan pakej yang ditawarkan.

Berita Berkenaan

Berita Global
Buat masa ini, ia tidak diketahui sepenuhnya berkenaan kenderaan model baharu ini. Sebelum ini,…
Berita Domestik
Terdapat berita baik bagi mereka yang menantikan kehadiran model-model terbaharu jenama China itu…
Berita Domestik
Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh CEO Proton, Dr Li Chunrong dalam satu acara yang…