Senarai kereta dengan enjin talaan Yamaha

oleh Mohamad Hanif|
Mungkin ramai yang tidak tahu, Yamaha Motor Company Ltd sebenarnya ditubuhkan pada 1 Julai 1955 dan semenjak daripada itu setiap 1 Julai Yamaha Day akan disambut sebagai tanda memperingati tarikh penubuhannya.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Dan ramai yang tahu, Yamaha merupakan sebuah syarikat yang memfokuskan kepada penghasilan motosikal dua roda seperti Yamaha Sports dan Y15ZR (sekadar menyebut satu dua produk popular), serta produk-produk marin seperti bot dan juga enjin motobot. 

Namun, tahukah anda sebenarnya Yamaha juga sebenarnya mempunyai kepakaran tersendiri di dalam menghasilkan enjin kereta!

Berikut merupakan produk-produk automotif yang pernah menerima sentuhan daripada Yamaha. 

 

1. Toyota 2000GT


Kepakaran Yamaha sebenarnya dibuktikan sejak pembangunan dan produksi kereta sports Toyota 2000GT menerusi enjin enam silinder sebaris 2M dan 3M, yang asalnya digunakan pada Toyota Crown. 

Namun, Yamaha berjaya mentrasformasikan enjin 2.0 liter ini dengan head DOHC baharu, kuasa 148 hp dan 175 Nm, dibantu dengan sistem suapan bahan api karburetor Mikuni-Solex.

Kuasa tersebut disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi manual lima kelajuan. 

Toyota 2000GT juga turut dilengkapi dengan limited slip differential dan brek cakera pada keempat-empat sudut tayar, menjadikannya kereta Jepun pertama yang didatangkan dengan ciri standard itu. 

 


Tahukah anda, sebuah varian open-top Toyota 2000GT pernah menjadi hero di dalam filem James Bond You Only Live Twice? 

 

2. Toyota AE86


Toyota AE86 merupakan jentera ikonik kereta sports pacuan roda belakang mampu milik yang popular hanya disebabkan kemunculannya dalam animasi dan live-action Initial D. 

Malah bintang drift Jepun, Keiichi Tsuchiya sampai ke hari ini masih lagi kekal dengan AE86-nya itu.

Apa yang menariknya pada AE86 sudah tentu enjin empat silinder sebaris 4A-GE dengan not-not enjin yang sangat menggetarkan jiwa itu. 

Komponen kepala silinder enjin 4A-GE sebenarnya dibangunkan sendiri oleh Yamaha dan dibina di fasiliti Shimoyama bersama-sama dengan enjin 2A dan 4A. 

Produksi enjin ini juga sangat panjang, bermula dari 1983 (versi 16-valve) sehinggalah diakhiri dengan versi 4A-GE 20-valve pada tahun 1998 dan menguasai variasi model-model Toyota ada ketika itu. 

Oleh kerana enjin ini tahan lasak, senang untuk diselenggara dan keupayaannya yang mampu ditingkatkan, enjin 4A-GE kerap menjadi pilihan kaki modifikasi serta pelumba amatur dan professional. 
 


Versi yang paling diingati sudah tentu enjin TRD Group A 4A-GE Silvertop 20V yang digunakan di Formula Atlantic dengan kuasa sekitar 240 PS dan kadar putaran enjin mampu mencapai setinggi 11,000 rpm!

 

3. Ford Taurus SHO


Selain daripada syarikat kereta Jepun, Yamaha juga pernah membekalkan enjin kepada Ford Motor Company. 

Pada tahun 1984, kedua-dua syarikat telah menandatangani perjanjian di mana Yamaha perlu membekalkan enjin kompak 60o 3.0 liter DOHC V6 yang dimuatkan ke dalam Ford Taurus SHO. 

Kemudian, pada tahun 1993-1995, enjin tersebut menerima versi 3.0 liter dan juga 3.2 liter, manakala versi 3.4 liter pula hadir dalam konfigurasi DOHC V8 untuk Ford Taurus SHO 1996-1999. 

Selain daripada itu, Yamaha juga turut membangunkan enjin empat silinder Zetec-SE untuk model-model seperti kereta sports Ford Puma (yang kemudian dibangkitkan semula menjadi crossover). 

 

4. Volvo XC90 dan Volvo S80


Dari Ford, Yamaha kemudiannya membangunkan siri enjin bentangan V8 untuk pengeluar kereta Sweden, Volvo yang pada ketika ini sebenarnya masih lagi dimiliki oleh Ford. 

Model-model seperti XC90 dan S80 sebenarnya didatangkan dengan enjin 4.4 liter B8444S bentangan V8 yang dibina oleh Yamaha di Jepun dengan rekaan dan spesifikasi daripada Volvo. 

Dalam keadaan standard, enjin aluminium ini mampu menghasilkan 315 PS dan 440 Nm sebelum dipadankan dengan transmisi Aisin Seiki enam nisbah kelajuan dan sistem pacuan semua roda Haldex. 

Ia merupakan enjin V8 pertama yang berjaya memenuhi peraturan ketat emisi Ultra-Low Emission Vehicle II (ULEVII) menggunakan kombinasi empat penukar pemangkin (catalytic converter) dan pemasaan injap boleh laras berterusan (VVT). 

Versi 5.0 liter V8 pula digunakan oleh pasukan Garry Rogers Motorsports menerusi jentera Volvo S60 yang bertanding di dalam kategori V8 Supercars  antara tahun 2014 dan 2016.

 


Supercar Noble M600 juga menggunakan enjin yang sama, namun dilengkapi dengan sistem turbo berkembar Garret dan mampu menjana 650 kuasa kuda dan 819 Nm!

Menariknya, blok enjin B8444S ini turut digunakan oleh Yamaha di dalam produk marin seperti Yamaha F300V8, F350V8, and XTO Offshore. 

 

5. Variasi model berprestasi tinggi Toyota


Oleh kerana zaman 1980-an dan 1990-an merupakan zaman kebanjiran pelbagai jenis kereta berprestasi tinggi Toyota, ada diantara model-model tersebut yang menerima sentuhan daripada Yamaha. 

Seperti contoh, enjin 3S-GE/3S-GTE merupakan enjin empat silinder sebaris yang menerima talaan daripada Yamaha dan menguasai sebahagian daripada model Toyota seperti Celica, MR2, Caldina, Altezza dan juga Lexus IS200.

Jadi, adakalanya anda akan melihat kehadiran logo Yamaha pada kebanyakan enjin S daripada Toyota. 

Selain daripada itu, enjin-enjin model juga turut menerima sentuhan Yamaha seperti 2UR-GSE (Lexus ISF) dan 4GR-FSE (Lexus IS250). 

 

6. Lexus LFA


Lexus LFA merupakan sebuah supercar yang dihasilkan sebanyak 500 unit terhad bagi menunjukkan kepada dunia keupayaan yang ada pada Toyota. 

Toyota mempunyai beberapa pilihan enjin untuk dimuatkan pada Lexus LFA, namun enjin V10 telah dipilih kerana keupayaan untuk melahu pada putaran enjin yang lebih tinggi berbanding V8, dan jisim yang lebih ringan berbanding V12.

Untuk  Lexus LFA, Yamaha diberikan tugas untuk membangunkan bersama-sama keseluruhan unit enjin 1LR-GUE serta diberikan tugas khas bagi memastikan supercar ini mampu menghasilkan bunyi yang serba unik. 

Menggunakan pengetahuan di dalam ilmu muzik, Heiji Maruyama, Pengarah Urusan Yamaha telah mereka kembali komponen tangki lonjakan (surge tank) supaya bunyi yang terhasil mampu didengari dengan lebih jelas - membentuk seakan satu komunikasi antara kereta dan pemandu. 
 

komponen surge tank yang dihasilkan oleh Yamaha

Kesan daripada itu, bunyi yang terhasil dari dalam dan juga luar kereta adalah sangat unik kepada Lexus LFA, dan disifatkan sebagai bunyi yang terbaik pernah dihasilkan oleh sebuah supercar. 

Enjin 4.8 liter bentangan V10 pembakaran seiring ini mampu menjana kuasa 553 kuasa kuda dan daya kilas 480 Nm sebelum digandingkan dengan transmisi klac tunggal sequential automatik enam nisbah kelajuan Aisin. 

Disebabkan kemampuannya untuk melahu ke putaran enjin tertinggi hanya mengambil masa 0.6 saat, paparan kluster meter digital telah digunakan disebabkan penggunaan meter analog tidak mampu untuk membaca dan mengikuti pergerakan putaran enjin sepantas itu. 

 

Selamat menyambut Hari Yamaha!

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut kenyataan dari HLYM, mereka akan mengadakan satu program untuk menaiktaraf atau…
Berita Global
Yamaha Tricity 125 Matte Light Green Gray Metallic   Model 2024 tampil dengan warna baharu…
Informasi
Maka tidak menghairankan apabila garaj rumahnya yang terletak di Kampung Gong Badak, Terengganu…