Dengan ciri ini, kumpulan Hyundai mampu menawarkan kemaskini berterusan dari segi keselamatan dan prestasi, selain keterhubungan, keselesaan dan sekuriti terhadap semua kenderaan termasuk kereta yang sudah dijual, tanpa memerlukan pemilik singgah ke pusat pengedar untuk berbuat demikian.
Menjelang tahun 2025, Hyundai menjangkakan 20 juta kenderaan berdaftar di bawah perkhidmatan kenderaan terhubung di seluruh dunia.
Selain itu, konglomerat automotif itu juga berazam untuk memperkenalkan ciri tambahan yang boleh dibeli kemudian Features on Demand (FoD) yang turut merangkumi ciri pemanduan autonomi Tahap 3.
Dalam pada itu, Hyundai turut mengumumkan dua platform EV baharu, iaitu eM dan eS.
Platform eM direka untuk semua segmen kenderaan dan menawarkan 50 peratus penambahbaikan dari segi jarak pemanduan untuk sekali cas penuh. sementara platform eS pula direka untuk segmen kenderaan binaan khusus (PBV) menggunakan pelantar papan selaju.
Tidak seperti EV yang lahir dari platform eM, EV platform eS pula menawarkan penyelesaian untuk syarikat-syarikat penghantaran, logistik dan sektor seru-pandu.
Hyundai juga turut mengumumkan kerjasama dengan syarikat NVIDIA dalam membangunkan sistem operasi yang digelar Connected Car Operating Systems (ccOS).
Sistem ccOS ini akan menyokong teknologi perisian yang diperlukan untuk menganalisa dan memproses data daripada penderia (kamera, radar, LiDAR) dengan lebih pantas.
Dalam masa terdekat, Hyundai akan memperkenalkan teknologi pemanduan autonomi Tahap 3 yang digelar Highway Driving Pilot (HDP) pada model Genesis G90, selain membangunkan teknologi Remote Parking Pilot (RPP) sebagai pelengkap kepada pemanduan Tahap 3 itu tadi.
Untuk itu, kumpulan Hyundai akan melabur besar-besaran di dalam teknologi perisian, dengan perancangan pelaburan berjumlah 18 trilion won (RM58.9 bilion) yang turut merangkumi pembangunan Pusat Perisian Global untuk memperkukuhkan keupayaan perisian dan memacu pembangunan kenderaan ditakrifkan perisian (Software Defined Vehicle, SDV) menjelang 2030.