Model pembuka selera untuk SEMA 2022 sudah pasti disandang oleh barisan kereta sports pacuan roda belakang Nissan Z, di mana jentera lumba Nissan Z GT4 diperlihatkan buat kali pertama, diikuti dengan model Nissan Accessorized Z yang memfokuskan kepada naiktaraf prestasi.

Bahagian luar Nissan Accessorized Z ini membawakan tema warna tradisi Nissan (merah-putih-hitam), grafik Mobil 1, serta trim gentian karbon.
Enjin asal V6 3.0 liter turbo berkembar itu dilengkapi dengan sistem kemasukan udara sejuk Nismo, pam penukar haba yang lebih besar, sistem ekzos kalis karata Nismo, serta klac cakera berkembar dan flywheel serba baharu daripada Nismo.
Sistem suspensi gegelung tiub berkembar Nismo merendahkan sedikit ketinggian asal Z ini, manakala keempat-empat sudut dipasangkan dengan rim Nismo LM-RS1 bersaiz 19 inci, diikuti dengan sistem brek Nismo yang terdiri daripada angkup enam omboh di depan dan empat di belakang.
Akhir sekali, tayar Bridgestone RE71RS yang mampu menawarkan tahap cengkaman yang diperlukan.

Mencuri tumpuan adalah jentera drift Nissan Z yang dikuasakan oleh enjin GT-R dan mampu menjana kuasa setinggi 1,300 hp.
Jentera drift ini akan dikendalikan oleh Chris Forsberg di dalam kejohanan Formula Drift.
Barisan trak pikap yang bakal mewarnai SEMA 2022 terdiri daripada Nismo Off-Road Frontier V8 serta Nissan Frontier Street Project.

Trak Nismo Off-Road Frontier V8 ini dikuasakan oleh enjin bentangan V8 5.6 liter yang diperoleh daripada trak Titan, dan didatangkan dengan modifikasi seperti sistem kemasukan udara sejuk dan sistem ekzos cat-back.
Selain itu, Nissan bekerjasama dengan Forsberg Racing untuk membawakan tema trak Baja, di mana sistem suspensi menampilkan penyerap hentak Nismo/Bilstein pada keempat-empat sudut, sementara spring dedaun pada bahagian belakang turut dinaiktaraf.
Ia dipadankan dengan kit badan lebar yang terdiri daripada fender depan dan hud yang diperbuat daripada gentian karbon, sementara barangan prototaip pula terdiri daripada bampar depan keluli, rock rail, dan rak bed untuk membawa tayar simpanan.

Nissan Frontier Street Truck Project ini pula dihasilkan oleh Christina Roki dengan menggunakan asas daripada Frontier King Cab.
Trak ini mendapat sistem suspensi kustom yang merendahkan lagi jarak kelegaan tanah, diikuti dengan rim Black Rhino Kaizen 20 inci, kit badan Performance Lab Detroit, dan unit lampu hadapan dengan efek asap.
Naiktaraf yang dibuat terhadap trenkuasa pula adalah sistem ekzos cat-back Magnaflow.
Nissan turut membawakan dua contoh kenderaan mesra alam.

Salah satu daripadanya merupakan Nissan Ariya Surfwagon yang dibina oleh Tommy Pike Customs.
Ia menampilkan wrap vinil dan trim krom untuk membawakan tema Woodie Wagon klasik, diikuti dengan rim 20 inci bertutup penuh, dan sistem suspensi yang telah direndahkan.
Yang lebih mencuri tumpuan penulis ialah trak pikap Nissan Sunny berkuasa elektrik ini!

Nissan Sunny pikap ini dilengkapi dengan trenkuasa elektrik daripada Nissan Leaf, terdiri daripada motor elektrik 147 hp/320 Nm, serta pek bateri berkapasiti 40 kWh.
Sistem suspensi hadapan dipinjamkan daripada model S13 Silvia sementara spring dedaun pada bahagian belakang telah dinaiktaraf bertujuan untuk menampung penambahan berat trenkuasa elektrik itu tadi.
Selain membawakan liveri perlumbaan klasik Nissan, dan kit badan Skyline Hakosuka, keempat-empat sudut trak pikap elektrik ini dipasangkan dengan rim Rotiform bersaiz 17 inci.