Seludup 28,000 liter diesel bersubsidi, APMM sita dan tahan lima lelaki

oleh Penyumbang Rencana|
Gambar dari Facebook APMM
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan lima lelaki dan menyita 28,000 liter diesel bersubsidi di Muara Sungai Paloh, Pasir Gudang di sini pada 12.30 tengah malam Isnin.

Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata kelima-lima lelaki disyaki terlibat dalam aktiviti pemindahan minyak secara haram di lokasi terbabit dan turut disita sebuah bot anchor, lori tangki serta kenderaan pacuan empat roda dengan nilai keseluruhan lebih RM3.3 juta.

"Setibanya bot ronda APMM di lokasi tersebut, didapati bot anchor serta lori tangki berada berhampiran hos dan pam minyak yang bersambung antara satu sama lain... pemeriksaan lanjut mendapati bot itu dikendali tiga kru termasuk nakhoda yang daripada warga tempatan dan warga Indonesia berusia lingkungan 29 hingga 64 tahun," menurutnya dalam kenyataan malam Selasa.

Beliau berkata ketiga-tiga individu gagal mengemukakan sebarang dokumen mengenai muatan diesel yang dipercayai telah dipindahkan dari lori tangki di lokasi berkenaan.

Nurul Hizam berkata dua lagi lelaki yang ditahan ialah seorang warga tempatan dan seorang warga Myanmar, masing-masing berusia 48 dan 58 tahun yang berada dalam kenderaan pacuan empat roda kerana disyaki terbabit dalam aktiviti itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 361(1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Seksyen 135(c) Akta Kastam 1967, Peraturan 18 Akta Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021, Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan akta lain yang berkaitan," katanya.

 

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurutnya, dalam operasi bermula jam 9 pagi itu, didapati pemilik stesen minyak berkenaan mengaku…
Berita Domestik
Menurutnya, dalam tempoh sama, nilai rampasan yang melibatkan lain-lain peralatan, kenderaan dan…
Berita Domestik
“Hasil pemeriksaan KPDN, minyak diesel dengan anggaran sebanyak 430,000 liter yang bernilai RM924,…