Selangor Sasar Bas Hidrogen Beroperasi Menjelang Hujung 2026

oleh Qalif Latif|
Foto Janaan AI
Kerajaan Negeri Selangor menyasarkan operasi bas berkuasa hidrogen dapat dimulakan menjelang penghujung tahun ini sebagai sebahagian usaha mempercepat transformasi ke arah sistem pengangkutan hijau dan rendah karbon di negeri itu.

Menurut laporan Media Selangor bertarikh 12 Mei 2026, EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han berkata pelaksanaan projek tersebut bergantung kepada kesiapsiagaan tiga komponen utama iaitu fasiliti penjana hidrogen (electrolyser), stesen pengisian hidrogen dan ketersediaan bas.
 

Ng Sze Han
Ng Sze Han EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor - Foto Media Selangor

Beliau memaklumkan bahawa WorldWide Holdings Berhad, anak syarikat kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor sedang membangunkan fasiliti penjana hidrogen di Batang Kali bagi menghasilkan bahan api hidrogen untuk kegunaan projek tersebut.

Pada masa sama, bas hidrogen pertama jenis 12 meter dengan kapasiti sekitar 40 penumpang juga dilaporkan sudah tiba di Malaysia sebagai sebahagian daripada projek perintis kerajaan negeri.

Stesen Pengisian Hidrogen Di Puchong Utama

Kerajaan Negeri turut merancang membina stesen pengisian hidrogen di Puchong Utama menerusi kerjasama bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Inisiatif itu dilihat sebagai langkah penting bagi menyokong pembangunan ekosistem hydrogen mobility di Selangor, khususnya melibatkan pengangkutan awam.

Selain projek bas hidrogen, Selangor juga menyasarkan elektrifikasi penuh terhadap 160 bas sedia ada menjelang tahun 2030.

Ketika ini, sebanyak 26 bas elektrik sudah pun beroperasi di negeri tersebut.

Laluan Mikromobiliti Turut Dipertingkat

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri turut mempergiat pembangunan kemudahan mikromobiliti termasuk pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung dan laluan basikal di Persiaran Sultan, Shah Alam.

Fasa pertama projek berkenaan dijangka siap pada suku ketiga tahun ini dan bakal menghubungkan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dengan beberapa lokasi utama pusat bandar Shah Alam termasuk Masjid Negeri serta Aneka Walk.

Fasa seterusnya pula akan diperluaskan sehingga ke Stesen LRT Dato’ Menteri yang merupakan sebahagian daripada jajaran LRT3.

Menurut Sze Han, projek LRT3 dijadual mula beroperasi pada Jun ini, manakala Rapid KL turut merancang memperluaskan perkhidmatan Demand Responsive Transit (DRT) ke 10 zon baharu bagi memperkukuh sambungan “first and last mile” ke stesen LRT3.